
ANKARA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan menerima anugerah Order of the Republic semasa lawatan rasmi beliau ke Turki, yang bermula hari ini hingga Khamis depan.
Duta Besar Malaysia ke Turki Sazali Mustafa Kamal berkata, anugerah itu merupakan pengiktirafan tertinggi republik berkenaan sebagai menghargai peranan Anwar dalam memperkukuh hubungan diplomatik Malaysia-Turki ke tahap lebih erat dan signifikan.
“Anugerah ini merupakan satu penghargaan tertinggi yang diberikan kepada seorang pemimpin luar yang telah mendekatkan dan memperkukuh hubungan dua hala dengan Turki,” katanya pada sidang media sempena lawatan rasmi perdana menteri ke Turki hari ini.
Sazali berkata, anugerah itu akan disampaikan oleh Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan esok.
Anwar mengadakan lawatan rasmi ke Turki sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan Malaysia untuk memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.
