Loji penyahgaraman air laut model selesai bekalan air industri Sabah

Timbalan Ketua Menteri III, Ewon Benedick (dua kanan) mendengar penerangan mengenai loji penyahgaraman air laut Jetama di kawasan industri di Taman Perindustrian Minyak dan Gas di Lahad Datu, Sabah. (Gambar Facebook Ewon Benedick)

LAHAD DATU: Pewujudan loji penyahgaraman air laut Jetama di kawasan industri di Taman Perindustrian Minyak dan Gas (POIC) di sini mampu menjadi model penyelesaian bekalan air industri di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri III, Ewon Benedick berkata pada ketika ini pewujudan loji oleh Jetama Sdn Bhd dengan kerjasama POIC Sabah itu menyediakan penyelesaian secara in-situ terhadap isu bekalan air kepada kilang perusahaan di kawasan terbabit.

“Beliau berkata penyediaan bekalan air tambahan melalui teknologi penyahgaraman itu penting bagi memastikan kelangsungan operasi industri, selari dengan perkembangan dan pertumbuhan POIC Lahad Datu.

“Ketika ini 46 perusahaan besar beroperasi di POIC Lahad Datu dan kawasan ini masih berpotensi dibangunkan, sejajar visi menjadikan POIC Lahad Datu sebagai eastern gateway untuk Sabah,” katanya dalam kenyataan selepas merasmikan loji berkenaan di sini hari ini.

Beliau yang juga menteri perindustrian, keusahawanan dan pengangkutan Sabah berkata pihaknya akan menyokong inisiatif inovatif bagi memperkukuh ekosistem perindustrian negeri seterusnya menjamin bekalan asas mapan kepada sektor industri.

Sementara itu, Ewon berkata terdapat keperluan menambah kawasan perindustrian serta menyemak semula dasar pembangunan taman perindustrian di Sabah.

“Ini penting dalam memastikan taman perindustrian ini mampu berfungsi sebagai pembangun ekonomi negeri,” katanya.

Author: admin