Kayuhan MAIPs Peduli salur lebih RM2.7 juta zakat untuk asnaf Perlis tahun lalu

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan Jamuan Makan Malam Penutup Tirai Kayuhan MAIPs Peduli 2025 di Kangar, baru-baru ini. (Gambar MAIPs)

PETALING JAYA: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melaksanakan 91 siri kayuhan berbasikal MAIPs Peduli bagi menyalurkan bantuan agihan zakat berjumlah lebih RM2.7 juta sepanjang tahun lalu.

Program tersebut memberi manfaat kepada 4,375 penerima daripada kalangan golongan kurang berkemampuan. Kayuhan itu diketuai oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs, yang berkenan turun padang menyantuni serta menyampaikan sendiri bantuan kepada penerima terpilih.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Nazim Mohd Noor, pelaksanaannya melibatkan kunjungan ke masjid, kampung dan sekolah di hampir seluruh negeri, dengan matlamat mendekati serta memahami keperluan golongan asnaf secara lebih menyeluruh dan berkesan.

Katanya, inisiatif ini terbabit mendapat sokongan padu pelbagai jabatan dan agensi di peringkat negeri serta persekutuan, termasuk penglibatan aktif ketua jabatan dan kakitangan masing-masing bagi memastikan kelancaran serta kejayaan program.

“Sejak diperkenalkan pada 2013, sebanyak 1,069 siri kayuhan telah diadakan, memberi manfaat kepada 49,800 penerima dengan nilai keseluruhan agihan MAIPs sebanyak RM32.07 juta setakat ini,” katanya sempena Jamuan Makan Malam Penutup Tirai Kayuhan MAIPs Peduli 2025, di Kangar, baru-baru ini.

Turut berkenan berangkat ke majlis itu ialah Raja Muda Perlis bersama-sama anakanda kedua baginda, Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penyumbang zakat melalui MAIPs. a

Baginda turut berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program terbabit sepanjang tahun lalu dan memastikan kelangsungannya selain berharap ia dapat diperkasakan dengan pendekatan lebih cekap pada tahun ini.

Author: admin