
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman 17 pengarah syarikat kerana disyaki terlibat dalam rangkaian kartel tender perolehan tentera darat.
Perintah reman selama lima hari sehingga 10 Jan 2026 terhadap semua suspek dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
SPRM dalam satu hantaran di TikTok memaklumkan suspek yang terdiri daripada sembilan lelaki dan lapan wanita berusia lingkungan 20 hingga 60-an itu ditahan antara 8.30 hingga 11.30 malam semalam ketika hadir beri keterangan di ibu pejabat SPRM Putrajaya.
Menurut hantaran itu, siasatan awal mendapati semua suspek disyaki membayar wang rasuah kepada pegawai kanan tentera darat sebagai balasan untuk mendapatkan projek-projek pembekalan dan penyelenggaraan.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(b) Akta SPRM 2009.
Pada 23 Dis lepas, pegawai SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan dan tumpuan terarah kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) tentera darat.
Dilaporkan bahawa semakan awal SPRM berhubung perolehan projek tentera darat mendapati beberapa buah syarikat kerap memperoleh projek dengan nilai tinggi.
Pada 29 Dis lepas, SPRM menyita enam akaun bank dipercayai milik seorang pegawai kanan tentera darat dan ahli keluarganya bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan perolehan projek tentera darat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 berhubung kes berkenaan.
Pada 2 Jan lalu, SPRM juga memaklumkan individu utama yang disyaki terlibat dalam siasatan itu masih menerima rawatan perubatan dan keterangannya belum diambil sepenuhnya.
