
Dalam politik semua kemungkinan boleh berlaku. Itulah mungkin mahu dicapai Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh dengan gesaan supaya parti itu keluar daripada kerajaan perpaduan untuk bekerjasama dengan PAS.
Gesaan Akmal menuntut Umno meninggalkan Kabinet bukan sekadar retorik. Ini mesej jelas: parti perlu kembali ke landasan ‘maruah Melayu dan Islam’ yang didakwanya semakin tergadai.
Dalam ucapan berapi-api di konvensyen khas Pemuda Umno Sabtu lalu, Akmal bertanya: “Adakah kita mahu terus berada dalam kerajaan yang gagal menghormati agama Islam dan Raja-raja Melayu?
Soalan itu langsung mencetuskan kontroversi. Ada yang memuji keberanian, ada melihatnya sebagai langkah menggugat kestabilan kerajaan.
Sebelum menulis lebih panjang, wajarlah persoalan ini ditanya. Benarkah kerajaan perpaduan gagal menghormati Islam? Jika benar, mengapa Belanjawan 2026 memperuntukkan RM2.6 bilion untuk memperkukuh syiar Islam?
Peruntukan itu bukan sekadar angka cantik di atas kertas. Ia termasuk sekolah pondok, sekolah agama rakyat dan sekolah tahfiz, memastikan pendidikan agama terus diperkasa.
Sebanyak RM150 juta disediakan untuk memperbaiki prasarana sekolah agama rakyat dan tahfiz, termasuk menggantikan peralatan pengajian usang di 300 sekolah pondok berdaftar, serta hampir 160 sekolah pondok tidak berdaftar.
Dengan peruntukan sebegitu besar, sukar untuk menafikan usaha kerajaan menjaga kepentingan Islam.
Mengaitkan kontroversi kecil dengan kegagalan kerajaan adalah tidak adil. Kesalahan individu telah diselesaikan melalui proses perundangan dan secara aman.
Umno untung atau rugi?
Dari sudut politik, gesaan Akmal membuka ruang spekulasi: adakah Umno bersedia meninggalkan kuasa demi janji politik jangka pendek?
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Ahmad Maslan pernah menegaskan: “Tiada faedah jadi pembangkang, walau satu sen sekalipun.”
Ayat itu walaupun diungkapkan pada Jun tahun lalu tetapi masih boleh dijadikan sandaran untuk berdepan hujah Akmal.
Jadi, keluar dari kerajaan bermakna kehilangan kuasa membuat dasar, hilang peluang membantu rakyat, dan risiko Umno tenggelam di blok pembangkang.
Sekarang, BN memegang lapan kementerian, tujuh daripadanya adalah Umno. Ini kuasa sebenar yang memberi impak terus kepada masyarakat Melayu.
Antaranya, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, yang membolehkan Umno menyentuh kehidupan rakyat di desa. Kuasa itu bukan sekadar simbolik; ia nyata.
Bayangkan jika kementerian strategik itu jatuh ke tangan parti lain. Adakah Presiden Umno Zahid Hamidi, masih mampu berkhidmat kepada rakyat Melayu tanpa kuasa? Jawapannya hampir pasti tidak.
Begitu juga Akmal sendiri. Keluar kerajaan akan mengehadkan pengaruhnya dalam pembangunan desa di Melaka.
Jika Umno dan BN benar-benar keluar, PKR, Amanah, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bakal mengambil alih kuasa.
Bersatu hijrah ke Madani?
Malah, jangan terkejut jika Bersatu menerima jemputan menyertai kerajaan dan memegang portfolio strategik. Dalam politik, tiada yang mustahil.
Peluang menyertai kerajaan menjelang PRU16 mungkin menarik bagi mana-mana parti termasuk Bersatu yang mempunyai isu sendiri dengan PAS.
Mutakhir ini, krisis di Perlis yang membawa perletakan jawatan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi PN.
PAS pula jelas tidak akan sertai kerajaan. ‘Keghairahannya’ untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) lebih utama daripada kerjasama lain.
Dalam blok pembangkang, suara Umno yang mempunyai 25 Ahli Parlimen mungkin ditenggelamkan oleh PAS dengan 43 Ahli Parlimen.
Dari segi agihan kerusi, kerjasama PAS-Umno mungkin memihak PAS kerana kedua-duanya kerap bertembung di kerusi sama.
Akmal selaku ketua Umno Jasin mungkin perlu beri laluan kepada Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS, Zulkifli Ismail, sebagai penyandang kerusi Parlimen Jasin.
Jika keadaan itu berlaku, suara Akmal kekal di DUN Melaka bukan Parlimen, selain mengehadkan potensinya di pentadbiran peringkat pusat.
Semua implikasi ini pastinya diperhalusi di Perhimpunan Agung Tahunan Umno pada 14 hingga 17 Jan sebelum diputuskan Majlis Kerja Tertinggi. Setiap langkah membawa risiko besar, setiap keputusan berpotensi mengubah landskap politik.
Persoalannya kini jelas dan mendesak: Adakah Umno sanggup pertaruhkan kuasa strategik dan pengaruh politik demi gesaan jangka pendek Akmal; atau lebih bijak kekal dalam kerajaan perpaduan untuk terus memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam?
Penulis ialah pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
