Negara Eropah kecam Israel sekat bekalan asas ke fasiliti UNRWA

gaza vaccine
Dalam kenyataan bersama Iceland, Ireland, Luxembourg, Malta, Norway, Slovenia, dan Sepanyol tuntut penghormatan ke atas keistimewaan dan kekebalan PBB serta undang-undang kemanusiaan antarabangsa. (Gambar EPA Images)

LONDON: Tujuh negara Eropah mengecam undang-undang Israel merangkumi langkah menyekat bekalan air, elektrik, dan komunikasi ke fasiliti dikendalikan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), lapor Anadolu Ajansi.

Tindakan sedemikian menjejaskan mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), melanggar undang-undang antarabangsa, dan bercanggah dengan dapatan Mahkamah Keadilan Antarabangsa, selain membawa implikasi kemanusiaan serius terhadap penduduk awam Palestin dan pelarian, menurut kenyataan bersama Iceland, Ireland, Luxembourg, Malta, Norway, Slovenia, dan Sepanyol.

Kenyataan itu menggesa Israel memastikan pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa yang sedia ada terus dibenarkan beroperasi di Gaza serta menghentikan sebarang proses pembatalan pendaftaran.

Ia turut menyatakan peranan PBB, khususnya UNRWA, bersama pertubuhan kemanusiaan dan NGO lain adalah amat penting bagi menangani situasi kemanusiaan yang bersifat bencana di Gaza.

Kenyataan itu menegaskan kewajipan memastikan akses kemanusiaan yang penuh, selamat, dan tanpa halangan serta membolehkan operasi kemanusiaan PBB dan rakan kongsinya terus berfungsi, selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan kewajipan perundangan antarabangsa yang berkaitan.

Penghormatan terhadap keistimewaan dan kekebalan PBB serta undang-undang kemanusiaan antarabangsa adalah suatu keperluan, menurut kenyataan itu.

Minggu lalu, Parlimen Israel meluluskan pindaan kepada undang-undang bagi menghentikan operasi UNRWA, termasuk menyekat bekalan elektrik, dan air ke fasiliti agensi itu.

Pada 29 Sept 2025, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan pelan 20 perkara bagi menamatkan perang Gaza, termasuk gencatan senjata, pembebasan tawanan Israel, pelucutan senjata Hamas, pengunduran Israel dari enklaf itu, pembentukan pentadbiran teknokrat serta penempatan pasukan penstabilan antarabangsa.

Fasa pertama perjanjian itu berkuat kuasa pada 10 Okt 2025, namun Israel terus melanggar beberapa peruntukannya dan melengah-lengahkan peralihan ke fasa kedua.

Sejak perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa pada 10 Okt, tentera Israel didakwa melakukan ratusan pelanggaran, mengorbankan 420 rakyat Palestin dan mencederakan 1,184 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan.

Gencatan senjata itu menghentikan perang Israel selama dua tahun yang mengorbankan hampir 71,400 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, mencederakan lebih 171,200 yang lain serta memusnahkan enklaf tersebut.

Author: admin