
PETALING JAYA: Penangguhan pelaksanaan e-invois selama setahun bagi syarikat dengan jumlah jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta yang sebelum ini dijadual berkuat kuasa pada 1 Jan, bukan bermaksud satu ‘pembatalan’.
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) William Ng, berkata langkah itu memberi ‘ruang bernafas’ yang kritikal bagi mengelakkan tekanan pematuhan melampau terhadap syarikat berpendapatan bawah RM5 juta.
“Walaupun langkah-langkah ini memberikan kelegaan yang amat diperlukan, Samenta ingin menegaskan penangguhan bukanlah bermaksud pembatalan.
“Cabaran struktur dalam ‘ekonomi pematuhan’ masih tetap ada,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, kerajaan bersetuju menangguhkan sekali lagi pelaksanaan e-invois selama setahun bagi syarikat dengan jumlah jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta, yang sebelum ini dijadualkan berkuat kuasa pada 1 Jan.
Dalam perutusan tahun baharu pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata ada syarikat ‘masih belum bersedia kerana kos persediaan (untuk e-invois) agak tinggi’.
Pada Jun lalu, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkata Kementerian Kewangan memutuskan pelaksanaan e-invois bagi syarikat yang memperoleh pendapatan antara RM1 juta hingga RM5 juta ditangguhkan daripada 1 Julai 2025 kepada 1 Jan 2026.
Bulan lalu, Anwar berkata kerajaan turut memutuskan untuk mengecualikan perniagaan dengan hasil tahunan di bawah RM1 juta daripada pelaksanaan e-invois.
Dalam pada itu, William menggesa syarikat terlibat agar memanfaatkan tempoh tambahan 12 bulan ini memantapkan kesediaan peralihan.
Beliau menyeru perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang berada di bawah ambang e-invois dan SST sewaan agar tidak leka, sebaliknya bertindak menyediakan perubahan dari segi tenaga kerja, proses, dan sistem.
“Bagi mereka yang sudah bersedia melaksanakan e-invois meskipun terdapat penangguhan, mereka amat digalak untuk meneruskannya secara sukarela,” katanya.
Hari ini, Anwar turut mengumumkan cukai perkhidmatan ke atas sewaan bagi PMKS dikurangkan kepada enam peratus berbanding lapan peratus sebelum ini.
Pada Julai 2025, cukai lapan peratus itu dikenakan melibatkan sewaan premis bukan kediaman seperti pejabat, gudang, dan aset komersial.
Katanya, bagi PMKS yang baharu ditubuhkan, mereka akan menikmati penangguhan cukai perkhidmatan ke atas sewaan selama setahun.
