
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat 26 syarikat disyaki terlibat dalam tender perolehan tentera darat.
Sumber berkata, semua pemilik syarikat tersebut turut terlibat dalam siasatan itu dan tidak menolak kemungkinan mereka akan direman bagi membantu siasatan.
“SPRM memulakan siasatan terhadap semua 26 syarikat itu kira kira jam 11 pagi di sekitar Lembah Klang, Perak dan Pulau Pinang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya, Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17 dan 23 Akta SPRM 2009.
Pada 23 Dis lalu, SPRM hadir ke Kementerian Pertahanan dan menyiasat projek dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.
Manakala pada 24 Dis, tiga individu dipanggil SPRM untuk dirakam keterangan berhubung kes tersebut.
