
PETALING JAYA: Veteran Umno Sabah, Salleh Said Keruak berkata gesaan Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh supaya parti itu meninggalkan kerajaan perpaduan tidak patut memberi kesan kepada masa depan politik Sabah.
Beliau berkata, Umno Sabah perlu menggunakan autonomi politik dalam menentukan pendiriannya dan keputusan membabitkan negeri itu perlu berpandukan kepentingan negeri, bukannya terikut perbahasan politik di peringkat pusat.
“Sabah mesti kekal fokus untuk mentadbir, membangun dan mempertahankan haknya, tanpa terheret dengan polemik politik dari luar negeri.
“Sabah beroperasi dalam realiti politik dan sosial berbeza. Bagi rakyat Sabah, keutamaan ialah perpaduan, kestabilan dan tadbir urus berkesan dalam sebuah negeri majmuk,” katanya dalam catatan Facebook.
Bekas ketua menteri Sabah itu berkata, perpaduan dalam kerajaan baharu Sabah perlu menjadi agenda utama kerana kestabilan politik penting bagi memastikan kesinambungan pentadbiran dan perancangan pembangunan jangka panjang.
Kerajaan Sabah ditubuhkan bulan lalu yang menghimpunkan Adun Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Upko, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) – dengan Ketua Umno Sabah, Jafry Ariffin, dilantik menteri pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar negeri.
GRS, PH dan BN rakan kongsi dalam kerajaan persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang juga pengerusi PH.
Semalam, Akmal menyeru Umno meninggalkan kerajaan persekutuan dan menjadi pembangkang, atas alasan berlaku pelanggaran berulang terhadap “garis merah” membabitkan Islam, masyarakat Melayu dan institusi diraja.
