
PETALING JAYA: Kerajaan perpaduan kekal berkuasa andai Umno menarik diri seperti dituntut Pemuda Umno, namun nasib kerajaan bergantung kepada DAP untuk menilai semula kedudukannya, kata Ahli Parlimen PKR, Hassan Karim.
Beliau berkata, kerajaan akan terus mempunyai majoriti meskipun 30 Ahli Parlimen Umno keluar, namun kemungkinan penarikan diri 40 Ahli Parlimen DAP akan menyebabkan kejatuhan kerajaan yang hanya mempunyai 83 kerusi, jauh daripada jumlah majoriti di Dewan Rakyat.
Mengikut Perlembagaan, perdana menteri perlu meletak jawatan atau memohon mengadakan PRU, katanya.
Hassan berkata demikian dalam hantaran berkait kemungkinan yang bakal berlaku susulan tuntutan Pemuda Umno semalam, agar parti itu meninggalkan kerajaan.
Beliau berkata, reputasi Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh dan Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook akan berada dalam keadaan terumbang-ambing, kesan seruan mereka untuk menilai semula kedudukan parti masing-masing dalam kerajaan.
Beliau berkata, Akmal perlu meletak jawatan jika Umno memutuskan untuk kekal dalam kerajaan, manakala reputasi Loke dan DAP akan tercalar jika parti itu juga kekal dalam kerajaan, andai reformasi tidak dilaksanakan dalam tempoh enam bulan mendatang seperti diminta.
“Orang tidak hormat DAP lagi,” kata Ahli Parlimen Pasir Gudang itu.
Bulan lalu, Loke menyatakan parti itu akan menilai semula peranannya dalam kerajaan jika reformasi bermakna tidak dilaksanakan dalam tempoh enam bulan ini. Beliau berikrar mempercepatkan agenda reformasi selepas parti itu kehilangan semua lapan kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Hassan meramal ancaman lebih besar terhadap PH terletak pada kemungkinan wujudnya pakatan Melayu-Islam sekiranya Umno meninggalkan kerajaan untuk bekerjasama dengan PAS dan Bersatu.
“Tidakkah gabungan yang menjenamakan dirinya sebagai rangkaian tunggal Melayu-Islam tersebut akan menjadi cabaran terbesar kepada Pakatan Harapan dalam PRU16?” katanya.
PRU seterusnya mesti diadakan menjelang Februari 2028.
