
Dr Akmal Saleh si ketua Pemuda Umno menyarankan partinya bersatu dengan PAS atas nama penyatuan Melayu. Saranan dibuat pada apa yang dipanggil konvensyen khas Pemuda Umno Sabtu lalu. Sebenanrya apa yang disaran sudah pun beliau luahkan sebelum konvensyen diadakan.
Tetapi rancangannya (sekurang-kurangnya buat masa ini) tidak melibatkan Bersatu yang juga parti Melayu. Ironik bukan? Nak Melayu bersatu tetapi ada parti Melayu ditinggalkan. Penyatuan Melayu tetapi bukan semua parti Melayu yang bersatu? ‘Come to think of it’ ada betulnya juga kerana parti Melayu bukan mewakili semua orang Melayu. Bagi saya parti politik Melayu bukan mewakili atau jurucakap orang Melayu secara keseluruhan.
Bagaimanapun, saya tetap kata ia sesuatu yang ironik apabila parti politik Melayu bercakap mengenai penyatuan Melayu tetapi tidak membabitkan semua parti politik Melayu. Lucu pun ada.
Apa pun teringat Muafakat Nasional dulu. Masa itu Akmal ‘was not in the picture’. Membabitkan Umno dan PAS. Ditubuhkan juga atas nama penyatuan Melayu dan Islam. Jodoh tak lama. Ironinya atas faktor Bersatu. PAS mahu parti itu dimasukkan dalam MN. Umno tak mahu. Tamatlah riwayat MN dulu.
Sekarang, apa disaran Akmal bolehlah dilihat sebagai MN2.0. Untuk meminggirkan Bersatu sudah jadi mudah. Tidak macam dulu. Sekarang PAS tidak semesra dulu dengan Bersatu. Boleh kata mereka sudah gaduh?
Lantas senanglah wujudkan MN2.0 membabitkan hanya Umno–PAS tanpa Bersatu. Saya ulangi. Ironik Melayu bersatu hanya membabitkan Melayu tertentu.
Kata Akmal adalah wajar Umno dan PAS bersatu kerana kedua-duanya parti Melayu terbesar. Saya tidak cadang ulas. PAS pun sudah sambut baik saranan Akmal.
Selain Bersatu, MN2.0 ketepikan juga Berjasa, Putra, Pejuang. Setahu saya itu semua parti Melayu Islam. Oh lupa….Amanah. Tetapi PAS dengan Amanah sama seperti Umno dengan Bersatu. ‘No love lost’. Memanglah akan diabaikan. Lagi pun Amanah adalah komponen Pakatan Harapan.
Apa pun parti Melayu yang disebut tadi pernah atau masih berada dalam gabungan lain. Tetapi begitu juga PAS dan Bersatu. Duduk dalam macam gabungan.
Bertanya seorang pemerhati politik: “Dulu dah ada Muafakat Nasional, kita ada juga payung besar (yang ditubuhkan Dr Mahathir Mohamad) dan macam- macam lagi. Sekarang MN lagi. Mana satu boleh percaya ni?”
Izin saya tambah. Sekarang ada gabungan atau ikatan yang dibentuk Muhyiddin Yassin presiden Bersatu. Tetapi selain parti Melayu yang disebut tadi ikatan Muhyiddin dianggotai parti bukan Melayu yang kecil.
Kata si pemerhati politik tadi: “Dulu sudah retak apa jaminan kali ini tidak pecah lagi?”. Pada hemat saya tiada jaminan boleh diberi.
Sama ada payung besar, MN 1.0 dan sekarang ura-ura MN 2.0 alasan ia ditubuhkan adalah sama. Saya tidak berminat ulanginya kerana bosan. Alasan sama. Bagi saya tujuan sebenar ialah kelangsungan politik. Nak pancing undi Melayu.
Akmal sudah lama meraba-raba untuk mendapat sesuatu yang boleh menguntungkan karier politiknya – daripada isu stokin KK Mart, Jalur Gemilang terbalik, pemimpin DAP sambut baik keputusan mahkamah kes Najib Razak. Semua atas alasan demi banga dan agama.
Oh ada satu lagi ironi. Dalam mahu berjuang untuk bangsa dan agama atas platform MN2.0 dengan PAS, Akmal mahu partinya keluar daripada kerajaan perpaduan. Sebabnya tidak perlu diulangi.
Yang ironiknya ialah jika mahu tolong orang Melayu bukankah mudah jika partinya ada dalam kerajaan? Bolehkah tolong Melayu jika Umno bertindak di luar kerajaan sebagai, dalam kata Akmal ‘pembangkang yang bermaruah?’ Boleh tapi susah.
Bukankah pembangkang termasuk PAS juga mahu jadi kerajaan? ‘And here we have Akmal whose party is already in government wanting it exit. Ironic isn’t it?’
Kata seorang bekas aktivis Umno yang pernah berkhidmat untuk seorang pemimpin tinggi parti: “Jika sesebuah parti hanya menjual sentimen penyatuan tanpa solusi ekonomi, anak muda cenderung melihatnya sebagai parti yang bankrap idea.
Dan katanya lagi: “Bagi mereka ‘penyatuan’ hanyalah topeng untuk kelangsungan politik elit ‘bagi beliau’ penyatuan Melayu produk murahan retorik pasar malam.”
Jumaat lalu, saya terbaca satu hantaran di Facebook berbunyi: “Esok 3 Jan 2026 akan berlangsung konvensyen khas bagi menentukan hala tuju Umno sama ada perlu keluar atau terus kekal dalam kerajaan”.
Ini tidak betul. Sebenarnya apa yang berlangsung Sabtu lalu pada ‘konvensyen khas Pemuda Umno’ Akmal dan rakan-rakan membuat saranan seperti disebut tadi yakni Umno bersatu dengan PAS dan Umno keluar kerajaan. Ia sekadar saranan Akmal dan kawan-kawannya dalam Pemuda Umno.
Adakah seluruh pergerakan Pemuda Umno dengan ketuanya? Bagaimana pula Umno secara keseluruhan?
Bak kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Ahmad Maslan sebarang keputusan yang dibuat pada konvensyen Pemuda berkaitan kedudukan Umno dalam kerajaan mesti dibincang oleh MKT parti dan dibawa ke Perhimpunan Agung Umno.
Tidak dinafikan ada dalam kalangan Umno terutama akar umbi yang mahu parti bersatu dengan PAS dan tidak mahu Umno bekerjasama dengan DAP. Persoalannya adakah mereka merupakan golongan majoriti dalam parti?
(Dalam PAS juga ada golongan yang mahu parti bertindak sendiri dan menjadi parti paling dominan. Adakah mereka golongan majoriti?).
Pada pandangan peribadi saya, saranan Akmal tidak akan ke mana. Saya rasa beliau sendiri pun tahu tetapi lakukan juga apa yang dilakukan atas sebab tertentu. Sekarang kita tengok apa langkah (gelagat?) Akmal seterusnya.
Oleh itu, saya ulang tajuk penulisan ini. Ayuh beli popcorn (istilah pernah digunakan Rafizi Ramli). Tonton apa ironi seterusnya. Adakah kita akan makan popcorn sambil menangis? Makan popcorn dan tersenyum atau makan popcorn sampai ketawa? Tapi awas jangan tersedak.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
