
PETALING JAYA: Amanah Melaka mencabar Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh membuktikan kesungguhannya menarik diri daripada kerajaan perpaduan dengan memulakan langkah itu di negeri berkenaan, susulan desakan semalam.
Ketuanya, Ashraf Mukhlis Minghat, berkata parti itu tidak perlu berselindung di sebalik alasan berlakunya pelanggaran ‘garis merah Melayu dan Islam’ jika benar-benar ingin keluar daripada kerajaan perpaduan.
Beliau turut mempersoalkan dakwaan kononnya kepentingan Melayu dan Islam tidak lagi terpelihara di bawah kerajaan perpaduan, sedangkan Umno diberikan beberapa portfolio penting seperti pembangunan desa dan wilayah untuk tujuan itu.
“Hakikatnya, Umno sudah tiga tahun bersama kerajaan perpaduan dan memegang kementerian penting termasuk pertahanan, pembangunan desa, perdagangan antarabangsa, pendidikan tinggi dan undang-undang.
“Semua ini kementerian penting untuk jaga negara, Melayu dan Islam.
“Kalau benar mahu keluar kerajaan, mulakan di Melaka. Minta singkirkan Pakatan Harapan daripada kerajaan negeri terlebih dahulu. Itu langkah paling mudah,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Ashraf mendakwa hakikat sebenar gesaan itu dibuat adalah kerana Umno tidak bersetuju dengan perkembangan kes mahkamah melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak, termasuk keputusan Mahkamah Tinggi berhubung titah adendum berkaitan hukuman penjara serta sabitan terhadap kes 1MDB.
“Kalau tidak suka keputusan mahkamah, rayulah seperti rakyat lain. Ini bukan kerajaan yang boleh campur tangan atau kawal badan kehakiman,” katanya.
Semalam, Akmal menggesa Umno menarik balik sokongan terhadap kerajaan perpaduan dan mengambil peranan sebagai pembangkang, dengan mendakwa berlakunya pelanggaran berulang terhadap ‘garis merah’ yang melibatkan Islam, orang Melayu dan institusi raja-raja.
Dalam pada itu, Ashraf turut mengkritik cadangan Umno untuk kembali kepada Muafakat Nasional (MN), sambil mengingatkan kegagalan gabungan itu sebelum ini akibat perebutan kuasa dan kepimpinan, selain mempersoalkan kedudukan Bersatu dalam landskap politik baharu yang dicadangkan.
Bagaimanapun katanya, mereka tidak ada bantahan malah mengalu-alukan Umno menentukan hala tuju partinya sendiri.
“Umno nak kembali semula kepada MN pun silakan. Parti kamu, hala tuju kamu. Namun, jangan dilupakan kegagalan MN terdahulu,” katanya.
