
PETALING JAYA: Tiga bekas Adun PAS Perlis yang terhenti keahlian kerana menandatangani akuan berkanun (SD) menarik sokongan kepada Shukri Ramli sebagai menteri besar tiada ruang untuk merayu, menurut Lujnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia parti itu.
“Jika ahli dipecat melalui peruntukan ‘Keberhentian Ahli’ Fasal 15(1)(b), maka proses rayuan boleh dikemukakan melalui Fasal 15(3) dengan merayu kepada Jawatankuasa PAS Pusat atau Fasal 15(3)(d) rayuan terus kepada Majlis Syura Ulama dalam tempoh 30 hari dari tarikh pemecatan.
“Namun, bagi keberhentian ahli badan perundangan (wakil rakyat) melalui Fasal 15A(1), khususnya para (b) dan (d) untuk tiga Adun Perlis, tiada peruntukan yang membenarkan rayuan.
“Terdapat perbezaan ketara antara Fasal 15 dan Fasal 15A yang menunjukkan niat sebenar Perlembagaan PAS digubal sedemikian,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, Majlis Syura Ulama PAS juga tiada bidang kuasa melayan rayuan tiga bekas Adun itu seperti dilaporkan media.
PAS menghentikan serta-merta keahlian Adun Chuping, Saad Seman; Adun Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan Adun Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim pada 24 Dis lalu kerana bersama lima Adun Bersatu menarik sokongan kepada Shukri sebagai menteri besar bulan lalu.
Semalam, tiga Adun terbabit dilaporkan akan mengemukakan rayuan rasmi berhubung status keahlian mereka kepada Majlis Syura Ulama PAS, dengan menegaskan tindakan mereka berlandaskan peruntukan sah dalam perlembagaan parti.
Ridzuan dilaporkan berkata, mereka bertiga berpandangan perlembagaan parti membenarkan mana-mana ahli dikenakan tindakan tatatertib mengemukakan rayuan dalam tempoh 30 hari daripada tarikh tindakan diambil Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda PAS, Khairul Nazir Helmi, menyarankan tiga Adun itu memohon menjadi ahli baharu parti.
“Mengikut Perlembagaan PAS, ahli yang gugur keahlian tidak boleh merayu, kecuali dipecat.
“Jadi, mana-mana ahli PAS, termasuk tiga Adun ini, jika mahu bersama PAS, mereka boleh memohon untuk menjadi ahli baharu PAS semula dan PAS Pusat akan menilai sama ada mahu menerima atau menolak permohonan keahlian mereka,” katanya kepada FMT.
