
PETALING JAYA: Jaminan kualiti perkhidmatan ditekankan melalui Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA) antara sandaran dalam menarik ramai pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing berkata jaminan itu merangkumi pelbagai sektor pelancongan termasuk budaya, alam semula jadi, marin, pengembaraan serta program berbentuk mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE).
“Usaha ini turut diperkukuh melalui kerjasama dengan syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa bagi meningkatkan keterlihatan serta kebolehcapaian Malaysia sebagai destinasi pelancongan.
“MyTQA menetapkan piawaian perkhidmatan yang jelas dan berperingkat, membantu Malaysia menarik pelancong bernilai tinggi dan pasaran jarak jauh,” katanya dalam kenyataan.
TMM2026 menyasarkan untuk menarik 47 juta pelawat antarabangsa dan RM329 bilion dalam terimaan pelancongan.
Tiong berkata kestabilan politik, keharmonian sosial dan komitmen bersama semua pihak juga dapat membantu menjayakan TMM2026.

“Pelancongan hanya dapat berkembang dalam suasana stabil, inklusif dan saling menghormati. Semua pihak termasuk pemimpin politik perlu berhati-hati dalam tutur kata dan tindakan.
“Tindakan mempolitikkan isu perkauman dan keagamaan yang boleh menjejaskan perlu dihentikan supaya tidak mencipta persepsi keselamatan pelawat asing serta imej Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Pelawat perlu berasa selamat dan dialu-alukan. Malaysia mesti terus memaparkan imej negara yang harmoni, stabil dan berkeyakinan,” jelasnya.
Beliau juga menekankan kejayaan pelancongan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kerajaan sebaliknya sektor swasta termasuk hotel, resort dan pengusaha pelancongan perlu memainkan peranan melalui pelaburan, inovasi dan penambahbaikan perkhidmatan.
“Hotel, resort dan pengusaha pelancongan perlu memainkan peranan melalui pelaburan, inovasi dan penambahbaikan perkhidmatan. Kejayaan pelancongan bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata.
“Negeri-negeri yang kaya dengan warisan budaya dan seni akan terus diketengahkan kerana pelancong kini mencari pengalaman bermakna, kisah yang diwarisi turun-temurun, masakan tradisional asli dan keramahan rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau turut menekankan peranan lapangan terbang dan syarikat penerbangan sebagai pintu masuk utama negara.
“Penambahbaikan kecekapan imigresen, kemudahan digital dan peluasan laluan penerbangan terus ke destinasi utama seperti Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Langkawi amat penting.
“Kita mahu pertumbuhan pelancongan dinikmati oleh komuniti luar bandar, pengusaha rumah inap desa dan penggiat pelancongan berasaskan komuniti. Pembangunan mesti seimbang dengan pemeliharaan alam sekitar dan warisan negara.”
