
PETALING JAYA: Komuniti bukan Melayu tidak boleh berharap pada Muafakat Nasional (MN) memandangkan tujuan kerjasama itu jelas tentang ketuanan Melayu, kata penganalisis.
Oh Ei Sun, felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, tidak percaya komuniti bukan Melayu boleh mengharapkan sebarang jaminan, dan terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan sekiranya MN dihidupkan semula.
“MN secara eksplisit bertujuan untuk memperkasakan ketuanan Melayu,” katanya kepada FMT.
Ketika idea MN membuat penampilan semula susulan kemelut politik di Perlis, Umno Kedah berkata Barisan Nasional harus kekal sebagai gabungan yang selesa didampingi kaum-kaum lain, lalu menyeru sebarang bentuk kerjasama politik diberi pertimbangan teliti dan objektif.
Ketua Penerangan Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata Umno dan BN harus kekal sebagai sebuah koalisi yang selesa didampingi serta menjadi asas perlindungan terhadap kaum-kaum yang lain sejak sekian lama.
Umno dan PAS membentuk MN pada Sept 2019 menyusuli kejayaan Pakatan Harapan pada PRU14. Ia terkubur selepas PAS membentuk Perikatan Nasional bersama Bersatu, dan pada masa yang sama mahu Bersatu diterima dalam MN, tetapi dibantah Umno.
Idea menghidupkan semula MN ditimbulkan oleh Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, berlatarkan kemelut yang akhirnya menyaksikan jawatan menteri besar beralih daripada PAS kepada Bersatu. Idea itu disahut Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, yang berkata ia boleh dihidupkan selepas BN meninggalkan kerajaan perpaduan.
James Chin dari Universiti Tasmania sangsi sama ada parti-parti bukan Melayu sekutu PAS, seperti Gerakan, mampu memainkan peranan berkesan jika MN diberi nafas baharu.
Beliau berkata MN tidak bagus kerana sentimen agama dan kaum senang dipolitikkan serta digunakan sebagai retorik.
“Lihat sahaja bagaimana sesetengah parti memainkan isu agama bagi membangkitkan rasa tidak puas hati penyokong mereka,” katanya.
Semalam, Presiden PAS Hadi Awang dilapor berkata hubungan antara PAS, Bersatu, dan Umno ‘masih baik’ dan membuka ruang kepada kepada menghidupkan semula MN.
Sinar Harian memetik beliau sebagai berkata ia mahu satukan orang Melayu dan orang Islam, dan nak satukan orang bukan Islam yang tak ekstrem.
