
KUALA LUMPUR: Kawasan ikonik Bukit Bintang malam ini dilimpahi cahaya berwarna-warni menerusi pelancaran projek inovasi pencahayaan ke arah kelestarian bandar ‘I LITE U’, sekali gus memeriahkan suasana malam ibu kota menerusi paparan pencahayaan moden dan lestari.
Majlis pelancaran yang disempurnakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu turut dimeriahkan dengan kehadiran pemenang Anugerah Oscar Michelle Yeoh.
Acara itu menyaksikan Yeoh menyerahkan ‘lumnious sphere’ kepada Anwar sebagai simbolik gimik pelancaran, sebelum perdana menteri dan tetamu kehormat menyaksikan persembahan dan perarakan di pekarangan Pavillion Kuala Lumpur.
Turut hadir pada majlis itu ialah barisan jemaah menteri dan tetamu kenamaan antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil serta Datuk Bandar Kuala Lumpur Fadlun Mak Ujud.
Festival yang melibatkan laluan sepanjang hampir satu kilometer di sekitar Bukit Bintang itu menampilkan pelbagai rekaan pencahayaan kreatif termasuk lampu gantung, lampu bulan serta elemen bertema dongeng yang memukau pandangan.
I LITE U, yang merupakan akronim bagi Infrastruktur, Lampu, Inovasi, Teknologi, Eko Mampan ke arah Urbanisasi, adalah inisiatif strategik bagi memperindah landskap bandar dan meningkatkan daya tarikan pelancongan global Kuala Lumpur menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY 2026), dengan sasaran 28 juta ketibaan pelancong dan penjanaan RM76 bilion pendapatan negara.
Projek berkenaan membezakan Kuala Lumpur daripada bandar global lain melalui pencahayaan bandar dengan fokus mewujudkan bandar yang selamat, inklusif, dan lestari; meningkatkan keselamatan dan keselesaan pejalan kaki; serta mempermudah akses ke kawasan tumpuan pelancong pada waktu malam.
