Tuduhan rasuah Chegubard, pegawai kanan TLDM ambil tindakan undang-undang

Education Centre president Sabri Zali and his lawyer, Firdaus Jumaludin, bernama pic 2126
Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas) Sabri Zali dan peguamnya, Firdaus Jumaludin, dalam satu sidang media hari ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas) Laksamana Madya Sabri Zali akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu atau pihak yang menerbitkan atau mengulang siar kenyataan berunsur fitnah terhadap beliau.

Tindakan itu susulan dakwaan yang dibuat oleh Badrul Hisham Shaharin, yang juga dikenali sebagai Chegubard.

Peguam Sabri, Firdaus Jumaludin, berkata dalam satu sidang media berkata dakwaan yang dibuat ketua Bersatu Port Dickson itu adalah tidak benar, mengelirukan dan berunsur fitnah.

Firdaus berkata semua dakwaan, termasuk penyebaran gambar serta dokumen yang dikongsikan oleh pihak tertentu di media sosial belum dapat dipastikan kesahihannya, justeru beliau menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

“Oleh kerana sumbernya tidak dapat dipastikan, kita menyerahkan perkara ini kepada proses perundangan supaya segala persoalan yang timbul dalam ruang awam ketika ini dapat diperjelaskan,” katanya.

Sabri turut hadir pada sidang media tersebut.

Firdaus turut mengesahkan bahawa Sabri telah membuat laporan polis berhubung dakwaan berkenaan, dan beberapa laporan susulan akan dibuat.

“Laporan polis memang telah dibuat dan beberapa lagi laporan susulan akan dibuat oleh Sabri kerana kita dapati perkara ini bukan bermula beberapa minggu lepas, sebaliknya sejak Ogos tahun lepas, seawal 2024,” katanya.

Firdaus berkata tahap kerosakan yang berlaku akibat tuduhan itu memerlukan campur tangan undang-undang memandangkan ia disebarkan secara meluas pada pelbagai platform media sosial.

“Keseriusan kerosakan ini bukan sahaja pada peringkat institusi, malah telah melibatkan keluarga dan rakan-rakan yang turut terkesan,” katanya.

Pada 31 Dis lepas, Badrul dalam media sosialnya mempersoalkan pengekalan seorang pegawai kanan tentera dalam perkhidmatan walaupun didakwa telah dikenakan tindakan berhubung kes rasuah.

Sebelum ini, Badrul berkata beliau akan mendedahkan maklumat mengenai bakal ketua tentera laut ‘yang pelantikannya saya sekat pada 2024’, tanpa menamakan pegawai yang terlibat.

Author: admin