Pemimpin beza pendapat peranan PN calar imej Bersatu, kata penganalisis

Mas Ermieyati
Ketua PN Melaka Mas Ermieyati Samsudin berkata beliau tidak akan meletak jawatan walaupun Presidennya Muhyiddin Yassin sudah berundur sebagai pengerusi gabungan itu.

PETALING JAYA: Penganalisis politik memberi amaran pemimpin Bersatu berisiko mencalarkan imej parti itu dan menyebabkan perpecahan dalaman melebar dengan mengambil pendirian berbeza sama ada perlu meletak jawatan sebagai ketua negeri Perikatan Nasional (PN).

Ketua PN Melaka, Mas Ermieyati Samsudin, menegaskan beliau tidak akan meletak jawatan walaupun Presidennya, Muhyiddin Yassin, sudah melepaskan jawatan pengerusi gabungan pembangkang itu.

Ahli Parlimen Masjid Tanah itu menolak dakwaan pelantikan PN di peringkat negeri terbatal secara automatik susulan peletakan jawatan Muhyiddin, sambil menegaskan kedudukan berkenaan ditentukan secara kolektif oleh Majlis Tertinggi PN.

Sebaliknya, Ketua PN Selangor (Azmin Ali), Johor (Dr Sahruddin Jamal), Perak (Ahmad Faizal Azumu) dan Negeri Sembilan (Hanifah Abu Bakar) sudah melepaskan jawatan masing-masing, dengan Azmin turut mengosongkan jawatan setiausaha agung gabungan itu.

Naib Presiden Bersatu, Radzi Jidin dan Ronald Kiandee, masih berdiam diri sama ada mereka akan terus menjadi ketua PN Wilayah Persekutuan serta Sabah.

Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, semua pemimpin Bersatu perlu melepaskan jawatan PN negeri mereka bagi membolehkan pengerusi baharu gabungan itu menstruktur semula kepimpinan pusat dan negeri.

Lau Zhe Wei
Lau Zhe Wei.

“Senario ini yang menyaksikan sebahagian pemimpin meletak jawatan dan yang lain tidak berbuat demikian, akan menjejaskan imej Bersatu.

“Ia akan menampakkan perpecahan dalaman parti semakin serius — dan mereka tidak kisah menunjukkannya kepada umum,” katanya kepada FMT

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berkata, ia tindakan “semula jadi” untuk pemimpin Bersatu melepaskan jawatan mereka susulan peletakan jawatan Muhyiddin bagi memberi laluan kepada pengerusi baharu membuat pelantikannya sendiri.

Azmi Hassan
Azmi Hassan.

Katanya, keengganan sesetengah pemimpin berbuat demikian boleh menyukarkan usaha pengerusi PN baharu — yang dijangka daripada PAS — untuk menyusun semula gabungan itu.

“Pengerusi baharu perlu diberi kebebasan dalam menentukan siapa yang beliau mahu bekerjasama di negeri ini. Apa yang telah dilakukan Mas Ermieyati dan kumpulannya sesuatu yang luar biasa,” katanya kepada FMT.

‘Kesinambungan penting’

Syaza Shukri, juga dari UIAM, berkata tidak adil untuk mengharapkan pemimpin Bersatu meletak jawatan bersama Muhyiddin, walaupun sesetengah pihak berbuat demikian sebagai tanda solidariti.

Syaza Shukri.
Syaza Shukri.

“Ini adalah gabungan, bukan kerajaan yang menuntut akauntabiliti kolektif. Saya bersetuju dengan Mas Ermieyati bahawa tidak salah bagi mereka kekal kerana pelantikan ini bukan bersifat peribadi — dan kesinambungan amat penting dengan pilihan raya semakin hampir.”

Beliau menjangkakan lebih banyak peletakan jawatan mungkin berlaku bagi menekan PAS mengambil alih jawatan pengerusi gabungan itu, tetapi beliau memberi amaran ia hanya akan melemahkan kedudukan Bersatu dalam PN.

Syaza dan Lau juga senada, peletakan jawatan beramai-ramai pemimpin Bersatu akan mendalamkan perpecahan dalam gabungan pembangkang.

“Peletakan jawatan ini lebih seperti PAS diletakkan bawah tekanan strategik untuk mengambil alih selepas tarik tali antara kedua-dua parti selama berbulan-bulan.

“Ia sememangnya menguatkan naratif PN sedang berpecah, di mana masalah tidak dapat diselesaikan secara dalaman,” kata Syaza.

Ketegangan memuncak dalam PN susulan kemelut politik di Perlis baru-baru ini, yang menyebabkan Shukri Ramli daripada PAS meletak jawatan menteri besar pada 25 Dis lalu atas dakwaan wujud plot oleh beberapa Adun PAS dan Bersatu untuk menggulingkannya.

Pada 28 Dis lalu, Adun Kuala Perlis daripada Bersatu, Abu Bakar Hamzah, dilantik menteri besar baharu Perlis, yang mencetuskan tuduhan pengkhianatan daripada beberapa pemimpin PAS terhadap Bersatu.

Dua hari kemudian, Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatannya, yang berkuat kuasa 1 Jan lalu.

Author: admin