
KOTA TINGGI: Kementerian Pertahanan (Kementah) tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk rasuah atau penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pegawai dan anggota angkatan tentera.
Menteri Khaled Nordin berkata pihaknya memandang serius setiap aduan berkaitan rasuah dan memberi jaminan siasatan akan dijalankan mengikut saluran serta lunas undang-undang.
“Semestinya kita tidak akan berkompromi terhadap sebarang unsur rasuah atau penyalahgunaan kuasa khususnya dalam Kementah.
“Setiap aduan akan diambil serius namun tuduhan tanpa bukti hanya akan menjejaskan kredibiliti dan nama baik angkatan tentera,” katanya selepas majlis ramah mesra komuniti.
Justeru, tindakan tegas wajar diambil bagi membersihkan nama baik angkatan tentera dan mengelakkan dakwaan tidak berasas dijadikan modal untuk meraih populariti.
Sebelum ini, seorang aktivis, Badrul Hisham Shaharin, mendakwa seorang pegawai kanan tentera disyaki terbabit dalam isu pengubahan wang haram dan susulan itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki mengesahkan satu kertas siasatan dibuka bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM.
Ditanya mengenai keperluan pegawai angkatan tentera membuat pengisytiharan harta, Khaled berkata Kementah sentiasa mendapatkan maklumat dan pandangan agensi berkaitan sebelum sebarang pelantikan dibuat.
“Kita sentiasa merujuk agensi dan jabatan berkaitan termasuk SPRM bagi memastikan setiap pelantikan dibuat dengan teliti serta berintegriti,” katanya.
