
PETALING JAYA: Seorang pemimpin Bersatu berkata Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, sesuai sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN) baharu sekiranya pembuat keputusan mahu gabungan itu dikemudi oleh teraju muda.
Ketua Bersatu Terengganu, Razali Idris, yang juga ahli majlis pimpinan tertinggi parti, berkata sudah sampai masa PN tonjolkan pemimpin muda.
“Samsuri belum sampai 60 tahun umurnya, dan beliau mempunyai pengalaman memerintah di Terengganu dua penggal sebagai menteri besar,” katanya kepada FMT, dan menambah Samsuri juga sesuai sebagai ketua pembangkang.
Samsuri, 55, antara nama yang disebut sebagai pilihan yang mungkin dipertimbangkan untuk jawatan pengerusi PN, di samping Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin dan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, menurut sumber yang dekat dengan pimpinan parti komponen.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Sanusi Nor, yang mendapat sokongan terbuka Ketua Dewan Ulama Ahmad Yahaya dan Pemuda PAS Selangor, turut mencadangkan Samsuri.
“Berdasarkan pengalaman saya sebagai exco Terengganu bawah Samsuri, beliau bukanlah orang yang berwatak keras. Beliau berwatak lembut dan boleh duduk berbincang dengan sesiapa sahaja,” kata Razali.
Katanya lagi, Samsuri tegas melaksanakan tugas dan terbuka mendengar pandangan semua pihak sebelum membuat keputusan muktamad.
“Pegawai khas beliau juga ada bukan Melayu. Saya rasa beliau boleh menyatukan kaum jika diberi peluang dengan sokongan semua parti komponen dalam PN,” katanya.
Presiden PAS Hadi Awang mengesahkan partinya akan menerajui PN, susulan peletakan jawatan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi gabungan.
Mesyuarat mengenai calon pengerusi akan berlangsung minggu depan, yang dijangka turut dihadiri pemimpin Bersatu.
Ditanya kemungkinan beliau menerajui PN seperti cadangan beberapa pihak, Hadi sekadar menjawab dirinya dalam keuzuran.
Naib Ketua Bersekutu Bersatu, R Sri Sanjeevan, bagaimanapun berpandangan jawatan pengerusi ‘lebih molek’ digalas oleh presiden sesebuah parti.
“Saya hanya mahu PN dipimpin oleh Muhyiddin… jadi, jika jawatan itu akan diberi kepada PAS, walaupun bukan wajib, lebih molek jika pengerusi PN datang daripada presiden parti,” katanya.
Ketua Bersatu Kelantan, Kamaruddin Noor, senada mengatakan pengerusi PN sebaik-baiknya dilantik dalam kalangan ketua parti.
“Kalau pengerusi PN bukan berjawatan ketua, apa rasionalnya beliau boleh mengarah ketua-ketua parti yang menjadi timbalan pengerusi?” katanya.
“Dari segi protokol pula bagaimana ketua parti yang menjadi timbalan pengerusi berada bawah seorang pengerusi yang bukan ketua parti?”
