
PETALING JAYA: Enam rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Majistret Johor Bahru atas pertuduhan merusuh menggunakan senjata hingga menyebabkan seorang lelaki cedera di Taman Mount Austin, Johor Bahru, bulan lalu.
Sinar Harian melaporkan Choy Soon Chye, 41; Soh Say Shin, 36; Soo Toh Siang, 30; Calvin Phua Khim Hau, 29; Yap See Hong, 26, dan Tan Shen Qi, 21, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Mahkamah Sesyen, Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Enam tertuduh didakwa sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Low Chun Yong, 28, menggunakan senjata yang boleh menyebabkan kematian seperti sebilah pisau pemotong daging, pistol pegun (taser gun), kerusi plastik dan batang besi, di depan sebuah restoran di Taman Mount Austin pada 3.30 pagi 27 Dis lalu.
Hakim menetapkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin warga tempatan, selain menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.
Di Mahkamah Majistret, enam tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengambil bahagian dalam rusuhan dan memiliki pisau serta kerusi plastik, iaitu senjata yang boleh digunakan untuk menyerang di lokasi, masa serta tarikh sama.
Majistret Muhammad Fitri Mokhtar membenarkan jaminan RM3,500 dengan tiga penjamin bagi setiap tertuduh, selain perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes dan serahan dokumen pada 3 Feb depan.
