
PETALING JAYA: Tiga Adun Perlis yang dihentikan keahlian PAS memfailkan saman pemula terhadap Speaker DUN negeri Rus’sele Eizan bagi mencabar keputusan mengisytiharkan kekosongan luar jangka kerusi mereka.
Adun Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim; Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping) masing-masing memohon keputusan pengosongan tiga kerusi DUN diwakili adalah di luar aturan, terbatal, tidak sah dan defektif.
Mereka menegaskan pengumuman Rus’sele bertarikh 25 Dis lalu itu dibuat di luar bidang kuasa yang diperuntukkan.
“Dalam hal ini, kami menghormati pandangan Speaker tetapi berpendapat keputusan mengisytiharkan kekosongan kerusi itu adalah ‘terkhilaf dan berada di luar aturan’.
“Susulan itu, kami mengambil tindakan memfailkan saman pemula terhadap Speaker sebagai defendan pertama dan DUN Perlis sebagai defendan kedua bagi menuntut mahkamah membatalkan pengisytiharan itu,” kata mereka dalam kenyataan bersama lapor Berita Harian.
Mereka berkata, tindakan itu diambil demi kebajikan rakyat kerana ketiadaan wakil rakyat selama hampir dua tahun sebelum PRN seterusnya dianggap menjejaskan kepentingan pengundi di kawasan terbabit.
“Kami juga memohon relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah,” kata mereka yang memfailkan saman itu melalui peguam, Mohd Jamil Yaacob daripada Tetuan Srihana Mohamad & Partners.
BERITA LANJUT MENYUSUL
