
PETALING JAYA: Kerajaan tidak akan bertolak ansur dalam usaha menangani amalan rasuah, sama ada dalam kalangan pihak lawan atau kawan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, kerajaan akan terus bertindak tegas membanteras gejala terbabit demi menyelamatkan negara serta memastikan dana awam digunakan secara berhemat bagi membela nasib rakyat.
“Kita tidak akan bertolak ansur, tidak akan menerima apa-apa ugutan daripada mana-mana pihak dan kita akan tegas menghadapi masalah ini sama ada kawan atau lawan,” kata beliau pada sidang media khas hari ini, lapor Bernama.
Anwar berkata, perkembangan terkini siasatan berhubung kes rasuah melibatkan ahli politik, pegawai tertinggi kerajaan dan tentera adalah antara perkara yang telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Pasir Pelangi, Johor, hari ini.
Perdana menteri menegaskan, masih terdapat segelintir individu yang terperangkap dalam kerangka kerja dan budaya lama yang rosak dalam pada kerajaan menekankan aspek tatakelola dan kebajikan dalam usaha membanteras amalan rasuah.
Sebelum ini, dilaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat seorang bekas menteri berhubung dakwaan penyelewengan ketika berkhidmat di sebuah kementerian sebelum era Covid-19.
Siasatan itu membabitkan pemindahan sebidang tanah milik kerajaan yang bernilai tinggi kepada seorang pemaju hartanah terkemuka.
SPRM turut menjalankan siasatan terhadap seorang pegawai kanan Tentera Darat berhubung dakwaan rasuah melibatkan perolehan projek menerusi tender terbuka di bawah Pusat Tanggungjawab Tentera Darat.
