
PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan Dr Taufiq Johari menganggap kontroversi berkaitan penggunaan gelaran ‘Dr’ sudahpun selesai, susulan penjelasan yang dibuat oleh Majlis Perubatan Malaysia (MPM).
Beliau menegaskan, fokus utamanya kini adalah pada tugasnya di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi memastikan aspirasi kerajaan diterjemahkan kepada hasil yang bermakna.
“Saya percaya MPM telah pun jelaskan perkara ini,” katanya selepas lawatan kerja ke Kompleks Belia dan Sukan Kedah, Alor Setar, lapor Berita Harian.
“Sekarang adalah masa untuk kita bergerak ke hadapan dan melaksanakan kerja. Saya mohon ruang dan masa yang diperlukan supaya kita dapat terus maju serta memastikan pembangunan belia dan perlindungan sukan terus diperkukuhkan.”
Pada 24 Dis lepas, MPM menjelaskan bahawa graduan perubatan boleh menggunakan gelaran ‘Dr’ bagi mencerminkan kelayakan akademik mereka, walaupun tidak berdaftar sebagai pengamal perubatan dengan badan itu.
Ini susulan persoalan yang dibangkitkan oleh sesetengah pihak selepas Taufiq didapati tidak berdaftar dengan badan itu, selain universiti tempat beliau menamatkan pengajian di Indonesia tidak diiktiraf oleh kerajaan, MPM mahupun Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Laman web PKR menyenaraikan beliau pernah bertugas sebagai doktor am di jabatan kecemasan Hospital Dr Slamet Garut di Indonesia pada 2020, sebagai doktor pelatih di Hospital Al-Ihsan, serta sebagai pengamal am di Klinik Dr Hadi pada 2022.
