Ambil tindakan individu beri orang lain guna MyKad tebus BUDI95, kata Fomca

PETROL BUDI95
Ketua Pegawai Eksekutif Fomca, T Saravanan berkata tindakan individu membenarkan orang lain menggunakan MyKad miliknya untuk tebus BUDI95 sepatutnya tidak terkecuali daripada tindakan undang-undang.

PETALING JAYA: Individu yang menyerahkan atau membenarkan MyKad miliknya digunakan orang lain untuk menebus BUDI95 perlu dikenakan tindakan undang-undang, kata Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).

Ketua Pegawai Eksekutif Fomca, T Saravanan berkata walaupun pemilik MyKad itu tidak melakukan transaksi secara langsung, namun perbuatan tersebut satu bentuk penyalahgunaan identiti dan subsidi kerajaan.

“Pemilik MyKad yang menyerahkan atau membenarkan kad pengenalannya digunakan oleh orang lain sepatutnya tidak terkecuali daripada tindakan undang-undang.

“Perbuatan membenarkan MyKad digunakan individu lain boleh dianggap membantu atau bersubahat atas kesalahan penyalahgunaan identiti,” katanya kepada FMT.

Saravanan berkata demikian mengulas penahanan seorang lelaki di Gemencheh, Negeri Sembilan kerana disyaki menebus subsidi petrol BUDI95 menggunakan MyKad milik individu lain yang ditemuinya.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Badrul Hisham Alias berkata pihaknya menerima aduan daripada pemilik sebenar MyKad itu yang menyedari berlaku penebusan BUDI95 atas namanya walaupun tidak pernah berbuat demikian.

Badrul berkata siasatan dan risikan dijalankan membawa kepada penahanan seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun yang dipercayai mengambil kesempatan ke atas kehilangan MyKad milik mangsa.

Mengulas lanjut Saravanan berkata terdapat keperluan untuk memberi pendidikan dan penjelasan kepada rakyat terutama di luar bandar, mengenai implikasi undang-undang dan integriti terhadap pihak yang menggunakan MyKad orang lain.

“Isu ini menunjukkan perlunya pendidikan dan komunikasi yang lebih jelas kepada rakyat, khususnya di luar bandar, bahawa subsidi bersasar bukan sekadar isu teknikal, tetapi melibatkan tanggungjawab undang-undang dan integriti.

“Jika dibiarkan, ia bukan sahaja menjejaskan keadilan sistem subsidi, tetapi juga mendedahkan rakyat biasa kepada risiko tindakan undang-undang tanpa mereka sedari,” katanya.

Author: admin