Ada broker jemput tandatangan SD tarik sokongan kepada Shukri, dakwa Adun PAS

Haziq Asyraf Dun dakwa beliau antara Adun Perlis dapat jemputan menandatangani akuan berkanun (SD) untuk menarik sokongan kepada Ramli Shukri sebagai menteri besar Perlis. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Adun Beseri Haziq Asyraf Dun mendakwa wujud individu bertindak sebagai broker menjemput wakil rakyat menandatangani akuan berkanun (SD) untuk menarik sokongan menyebabkan Ramli Shukri meletak jawatan sebagai menteri besar Perlis, Khamis lalu.

Haziq yang juga ketua Pemuda PAS Perlis mendakwa beliau antara Adun dijemput untuk menandatangani SD itu oleh broker terbabit.

“Sebagai seorang Adun dipilih oleh jamaah, adab dan prinsip saya adalah merujuk terlebih dahulu kepada pimpinan PAS Pusat dan negeri.

“Setelah mendapatkan nasihat, saya tidak hadir dan tidak terlibat, kerana jemputan tersebut tidak dibuat secara rasmi,” katanya di Facebook.

Namun tiga wakil rakyat PAS menandatangani SD terbabit iaitu Saad Seman (Chuping), Anwar Ismail (Bintong), dan Ridzuan Hashim (Guar Sanji). Presiden PAS Hadi Awang memaklumkan keahlian mereka telah terhenti.

Lima Adun Bersatu yang didakwa terlibat ialah Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), Megat Hashirat Hassan (Pauh), Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang) dan Marzita Mansor (Sena).

Shukri meletak jawatan menteri besar Perlis pada Khamis, selepas tiga tahun menggalas amanah itu. Beliau memberi alasan faktor kesihatan.

Peletakan jawatannya menyusuli tindakan lapan Adun Perikatan Nasional (PN), termasuk tiga daripada PAS, menarik sokongan terhadap beliau menerusi SD diserahkan kepada Raja Perlis, minggu lalu.

Penarikan sokongan Adun terbabit dikatakan menggugat majoriti mudah Shukri di DUN, yang dikuasai PN, untuk terus menjadi menteri besar.

Haziq berkata tindakan menandatangani hilang kepercayaan terhadap Shukri tanpa pengetahuan dan kebenaran parti adalah satu pengkhianatan yang jelas dan tidak perlu dipolemikkan lagi.

“Jika mereka memaklumkan kepada parti berkaitan ada usaha ini, saya yakin PAS Pusat tidak akan ambil tindakan,” katanya.

Beliau turut meminta pihak tertentu tidak lagi menimbulkan isu bercanggah dengan keputusan PAS Pusat dan kenyataan rasmi Hadi.

“Memang saya akan terus menjawab kepada pihak yang cuba menimbulkan naratif bertentangan dengan PAS Pusat,” katanya.

Author: admin