Polis tahan suspek terlibat kejadian letupan di Nilai

ALZAFNY AHMAD
Ketua Polis Negeri Sembilan Alzafny Ahmad berkata lelaki berusia 62 tahun itu ditahan di sekitar Mantin, petang tadi. (Gambar Bernama)

SEREMBAN: Polis menahan individu yang disyaki terlibat dalam kejadian letupan, yang berpunca daripada penggunaan bahan letupan buatan sendiri atau ‘Improvised Explosive Device’ (IED) di kawasan Desa Palma, Nilai, pada 22 Dis lepas.

Ketua Polis Negeri Sembilan Alzafny Ahmad berkata lelaki berusia 62 tahun itu ditahan di sekitar Mantin, petang tadi.

“Ya, lelaki itu sudah ditahan dan dihantar ke hospital kerana cedera, satu kenyataan akan dikeluarkan dalam masa terdekat berkaitan penahanan terbabit,” katanya.

Semalam, Alzafny berkata suspek yang terlibat dalam kejadian itu dipercayai mempunyai pengetahuan teknikal dan kemahiran khusus dalam pembuatan bahan letupan berdasarkan penemuan peranti dan peralatan yang dirampas di rumah sewa lelaki berkenaan.

Polis turut menemukan 31 lagi IED di rumahnya dan polis telah memusnahkan semua bahan letupan berkenaan.

Pada Isnin lepas, beliau dilaporkan berkata pihaknya menemukan objek disyaki IED susulan kejadian letupan di kawasan Desa Palma, selepas menerima laporan orang awam yang memaklumkan terdapat objek meletup serta paku bertaburan di kawasan itu pada 7.08 pagi.

Author: admin