Lambakan sampah selepas sambutan Krismas undang teguran menteri

Sampah sarap dilihat bersepah di lokasi tumpuan pelancong di KL selepas sambutan Krismas.

PETALING JAYA: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming memberi peringatan tegas kepada orang ramai agar tidak memalukan negara dengan sikap membuang sampah merata-rata.

Beliau mengeluarkan teguran keras selepas tularnya video menunjukkan sampah sarap bersepah di jalan raya selepas sambutan Krismas di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Nga menyifatkan tingkah laku tidak bertanggungjawab itu sebagai sesuatu yang amat memalukan.

“Sudah abad ke-21, tiada lagi alasan untuk mana-mana pihak buang sampah sesuka hati di kawasan awam.

“Jangan salahkan kerajaan apabila kami kuat kuasa undang-undang. Tolonglah bersikap matang!” tegasnya dalam hantaran di platform media sosial, X.

Kenyataan menteri itu dibuat selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meluahkan kekesalan berhubung sampah sarap dibuang merata-rata di beberapa lokasi tumpuan pelancong sepanjang Jalan Bukit Bintang, yang menurut mereka, menjejaskan imej ibu negara.

DBKL memaklumkan, kerja-kerja pembersihan sedang dilaksanakan di pusat bandar untuk memastikan persekitaran kekal bersih, teratur dan selesa.

“Walaupun orang ramai sedang menikmati suasana malam perayaan, tanggungjawab untuk menjaga kebersihan mesti kekal menjadi keutamaan,” menurut DBKL.

Pada September lepas, Nga mengumumkan mereka yang didapati bersalah membuang sampah merata-rata di tempat awam akan dikenakan perintah khidmat masyarakat sehingga 12 jam dalam tempoh enam bulan, mulai 1 Jan depan.

Author: admin