Dihentikan keahlian PAS, Adun Bintong akan rayu

Adun Bintong Fakhrul Anwar Ismail, berkata beliau akan guna ruang yang ada untuk membuat rayuan selepas diberhentikan keahlian bersama dua Adun lain.

PETALING JAYA: Adun Bintong Fakhrul Anwar Ismail akan membuat rayuan kepada PAS susulan pemberhentian keahliannya, sambil menyatakan tindakan menarik sokongan terhadap Menteri Besar Perlis Shukri Ramli adalah tindakan betul.

Katanya, beliau akan menggunakan ruang yang ada untuk membuat rayuan sambil menegaskan PAS tetap di hatinya.

Sambil mempertahankan tindakan menarik sokongan ke atas Shukri, beliau menegaskan tindakan diambil bersama dua lagi Adun dibuat kerana Adun Sanglang itu dianggap ‘melemahkan PAS’.

“Tindakan kami ini betul pada pertimbangan kami dan salah pada kelompok yang berbeza pandangan.

“Yang pasti tindakan MB (Mohd Shukri), memang telah melemahkan PAS di Perlis. Wajib ditukarkan,” katanya kepada Berita Harian.

Semalam, Presiden PAS Hadi Awang mengumumkan tiga ADUN PAS di Perlis, iaitu Fakhrul, Saad Seman (Chuping), dan Ridzuan Hashim (Guar Sanji), dihentikan serta-merta keahlian mereka.

Sebelum ini, FMT memetik sumber melaporkan lapan Adun menyerahkan akuan berkanun (SD) kepada Raja Perlis Jumaat lalu, menyatakan mereka tidak lagi menyokong Shukri.

Fakhrul, Saad, dan Ridzuan dikatakan menarik sokongan terhadap Shukri, selain lima wakil rakyat Bersatu iaitu Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis), Izizam Ibrahim (Titi Tinggi), Megat Hashirat Hassan (Pauh), Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang), dan Marzita Mansor (Sena).

Keadaan ini dikatakan menggugat majoriti mudah Shukri di DUN untuk terus menjadi menteri besar.

Sebelum situasi ini, PAS menduduki sembilan kerusi manakala Bersatu lima kerusi, daripada 15 kerusi DUN.

Pakatan Harapan Perlis, yang mempunyai satu kerusi mengisytiharkan sokongan kepada pentadbiran semasa, untuk kekal sehingga tamat penggal.

Author: admin