
PETALING JAYA: Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, membuat sindiran tersendiri terhadap DAP, dipercayai membalas komen Setiausaha Publisiti Kebangsaan Yeo Bee Yin yang menyentuh sensitiviti Umno berhubung Najib Razak.
“Saya pun tunggu nak ‘celebrate’ apabila mahkamah merasmikan terowong Pulau Pinang, mungkin pertengahan tahun 2026,” katanya di Facebook.
Pemimpin kedua tertinggi Umno itu tidak menamakan mana-mana individu, namun dipercayai beliau merujuk kepada perbicaraan Penasihat DAP, Lim Guan Eng, berkait terowong dasar laut Pulau Pinang.
Lim berdepan pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika itu dengan meminta 10% daripada keuntungan projek terowong dasar laut serta menerima sogokan RM3.3 juta daripada ahli perniagaan, Zarul Ahmad Zulkifli.
Beliau juga didakwa atas dua pertuduhan salah guna tanah milik kerajaan negeri bernilai RM208.7 juta.
Sindiran Mohamad menyusuli komen Yeo di Facebook, “Satu lagi sebab untuk raikan hujung tahun ini”, selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk menjalani hukuman penjara selama enam tahun di rumah berikutan sabitan kes SRC International.
Najib adalah bekas presiden Umno. Komen Yeo mengundang kecaman daripada pemimpin Umno, antaranya Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki, yang berkata mungkin sudah tiba masa Umno menilai kembali kerjasama jika masih ada pihak yang tidak mahu menghargai sumbangan dan perjuangan Umno.
Penganalisis sudah menjangkakan komen Yeo mengundang respons Umno, mengatakan isu Najib bukan sekadar soal undang-undang tetapi menguji daya tahan kerajaan, yang perlu mengutamakan keharmonian menuju PRU16.
Awal hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak agar menanggapi isu ini dengan sabar dan berhati-hati, menegaskan tidak wajar memburukkan keadaan atau meningkatkan ketegangan dalam tempoh yang digambarkan beliau sebagai sensitif.
