
PETALING JAYA: Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) dengan kerjasama Youth Corps Singapore (YCS) menganjurkan Youth Expedition Project (YEP) 2025 dari 13 hingga 23 Dis lalu, melibatkan penyertaan belia dari Malaysia dan Singapura dalam aktiviti kesukarelawanan di Sarawak.
Majlis penutupan program itu disempurnakan Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, di Sungai Asap, di sini.
YEP 2025 menghimpunkan 11 alumni YSS dan 18 sukarelawan YCS yang menjalankan khidmat masyarakat di Uma Belor Leo Dian, Sungai Asap, termasuk pemasangan lampu solar, pembinaan tapak pengumpulan sampah, serta projek transformasi digital dan literasi teknologi.
Aaron berkata program itu selari dengan komitmen Kementerian Perpaduan Negara untuk memperkukuh perpaduan nasional melalui penglibatan belia yang inklusif dan berimpak, selain bersempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia-Singapura.
“Kesukarelawanan komponen penting dalam pembinaan negara bangsa.
“Kementerian melalui YSS akan terus memberi tumpuan melahirkan pemimpin sukarelawan berwibawa bagi memacu agenda perpaduan serta pembangunan negara secara mampan,” katanya.
