
SETIA ALAM: Kira-kira 100 penduduk Arundina Setia Eco Park menyertai himpunan aman membantah pembinaan jalan di kawasan Hutan Komuniti Shah Alam yang didakwa memberi kesan kepada masyarakat setempat serta alam sekitar.
Koordinator perhimpunan, Jeffery Heng, berkata ia boleh memberi kesan langsung seperti kesesakan aliran trafik kerana ia bakal menjadi laluan utama ke Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH).
Katanya, selain itu ia boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar dan merosakkan kawasan hutan komuniti.
“Kami membeli rumah di sini kerana inginkan persekitaran alam semula jadi tetapi apabila mereka ingin membuat jalan dan jadikan kawasan inI taman awam, ia akan memusnahkan hutan.
“Ini yang kami bantah,” katanya kepada FMT.
Hutan Komuniti Shah Alam diapit oleh tujuh kawasan kejiranan utama termasuk Setia Alam, Setia Ecopark, Alam Budiman dan Bandar Nusa Rhu.
Ketika ini, pembinaan jalan tersebut dilakukan dari Bandar Nusa Rhu, Seksyen U10 ke Setia Eco Park, Seksyen U13 dan akan melalui kawasan perumahan Arundina Setia Eco Park.
Projek berkenaan adalah di bawah Draf Rancangan Pembangunan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) 2035.
Pada bantahan itu, penduduk turut melaungkan ‘Selamatkan Hutan’, ‘Hentikan Pembinaan’ dan ‘Selamatkan Komuniti’ selain membawa plakad bantahan.
Sementara itu, Heng berkata penduduk ketika ini sedang mengumpulkan petisyen bantahan untuk diserahkan kepada pihak berkaitan.
Katanya, ia bagi mendesak mereka agar menghentikan pembinaan atau melencongkannya ke kawasan lain demi melindungi kawasan penduduk.
