Pemuda PAS gesa kerajaan Selangor kemuka pelan projek pusat e-sukan

Tinjauan FMT mendapati bangunan bekas Hotel Carlton yang dirancang menjadi Gedung E-Sports Selangor masih terbiar tanpa sebarang kerja naik taraf.

PETALING JAYA: Kerajaan Selangor digesa membentangkan pelan tindakan jelas berhubung pembangunan Gedung E-Sukan Selangor, yang didakwa masih terbiar walaupun diumumkan lebih setahun lalu.

Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar berkata ketiadaan maklumat rasmi, hala tuju serta garis masa pelaksanaan menimbulkan persoalan terhadap tahap tadbir urus dan pemantauan projek tersebut.

Beliau berkata pengumuman peruntukan RM1 juta bagi pembangunan gedung e-sukan itu merupakan langkah positif dan berpandangan jauh, memandangkan industri e-sukan kini berkembang pesat dan berpotensi melahirkan bakat profesional, membuka peluang pekerjaan serta menjana ekonomi kreatif.

“Namun, idea yang baik tanpa pelaksanaan yang jelas akhirnya akan melemahkan keyakinan rakyat dan merencatkan potensi sebenar industri ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas laporan FMT tapak projek Gedung E-Sukan Selangor masih berada dalam keadaan terbiar meskipun lebih setahun selepas Menteri Besar Amirudin Shari mengumumkan pembangunan pusat berkenaan dalam Belanjawan negeri 2025.

Tinjauan FMT mendapati tiada sebarang perkembangan atau kerja menaik taraf dilakukan di bangunan bekas Hotel Carlton di Seksyen 13, Shah Alam, yang dirancang untuk dijadikan pusat e-sukan itu.

Sukri turut menyuarakan kebimbangan apabila persatuan e-sukan negeri dilaporkan tidak dimaklumkan secara berterusan mengenai perancangan dan kemajuan projek tersebut.

Sehubungan itu, Sukri menggesa kerajaan negeri mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai status sebenar projek, termasuk punca kelewatan, pihak pelaksana yang terlibat serta garis masa baharu yang realistik.

Beliau juga menekankan keperluan libat urus bermakna bersama persatuan e-sukan negeri, pemain profesional, penggiat industri dan komuniti belia.

“Pembangunan ekosistem e-sukan tidak boleh digerakkan secara pentadbiran semata-mata tanpa mengambil kira pandangan dan suara pemain di lapangan,” katanya.

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *