Corak undi Cina pada PRN Sabah isyarat untuk buat penambahbaikan

Armizan Mohd Ali
Armizan Mohd Ali berkata pihaknya juga akan melaksanakan ‘post mortem’ bagi mengenal pasti isu berkaitan dan menunaikan janji manifesto GRS.

PETALING JAYA: Kecenderungan pengundi Cina untuk tidak menyokong parti kerajaan pada PRN Sabah baru-baru ini dilihat sebagai isyarat kepada kerajaan negeri melaksanakan penambahbaikan, kata Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Armizan Mohd Ali.

Bagaimanapun katanya, walaupun ia kurang tepat untuk menganggap pengundi itu secara keseluruhan menolak GRS atau rakan sekutunya, namun isyarat berkenaan harus diberi perhatian semua pihak khususnya parti yang membentuk kerajaan negeri.

“Walaupun GRS tidak bertanding di kawasan mempunyai majoriti penduduk Cina, namun rakan sekutu, Pakatan Harapan (PH) berbuat demikian.

“Kalau kita lihat contoh di Papar khususnya Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Manis, kita ada satu peti undi iaitu di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bandar yang majoritinya terdiri masyarakat Cina.

“Jadi kalau disebutkan secara keseluruhan masyarakat Cina menolak GRS ataupun rakan-rakan kita itu kurang tepat. Apa yang penting masyarakat itu mungkin memberikan isyarat yang memerlukan kita untuk mengambil perhatian terhadapnya,” katanya pada sidang media pengumuman Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2025 di Papar, menurut Berita Harian.

Pada PRN lalu, PKR bertanding di 12 kerusi namun hanya mampu menawan DUN Melalap, manakala rakan gabungannya DAP tewas di kesemua lapan kerusi yang ditandingi.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) muncul sebagai blok terbesar dalam DUN dengan 29 kerusi, Warisan meraih 25 kerusi sebagai parti tunggal terbesar, manakala Barisan Nasional (BN) menang lima kerusi.

Sementara itu, Armizan berkata pihaknya akan melaksanakan ‘post mortem’ bagi mengenal pasti isu berkaitan dan menunaikan janji manifesto GRS.

Katanya, pelaksanannya adalah perkara penting dan komitmen yang akan diterjemahkan dalam hala tuju kerajaan negeri.

“Saya fikir semua rakyat kita, termasuk kaum Cina di Sabah ini menantikan pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

“Selepas pilihan raya berakhir, kita tidak boleh ‘berbulan madu’ terlalu lama. Lebih kurang dua minggu lagi tahun baharu akan bermula.

“Jadi saya ingin berpesan kepada rakan khususnya yang ada dalam jemaah menteri untuk mempertahankan pelan ini,” katanya.

Author: admin

1 thought on “Corak undi Cina pada PRN Sabah isyarat untuk buat penambahbaikan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *