Seorang ditahan dalam kes mayat dalam beg

handcuff gari
 Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Muhammad Idzam Jaafar, mengumumkan penahanan seorang lelaki dalam siasatan kes penemuan mayat dalam beg di Pedas. (Gambar Bernama)

SEREMBAN: Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan mayat wanita dalam beg, yang ditanam di belakang sebuah rumah tidak berpenghuni di Kampung Batu 4, Pedas, semalam.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Muhammad Idzam Jaafar, berkata lelaki berusia 41 tahun itu ditahan kira-kira 2.30 petang di Melaka, dan dibawa ke IPD Rembau.

“Lelaki itu kini direman seminggu hingga Khamis ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, lelaki terbabit berkemungkinan mengenali mangsa. Setakat ini polis belum mempunyai maklumat sama ada dia terlibat secara langsung atau tidak dalam kes itu.

Polis percaya terdapat beberapa individu lain yang turut terlibat dalam kes berkenaan.

Semalam, Ketua Polis Negeri Sembilan Alzafny Ahmad dilaporkan berkata mayat ditemukan dalam beg yang ditanam di belakang sebuah rumah tidak berpenghuni di Pedas dipercayai wanita dilaporkan hilang di Ampang, Selangor sejak 8 Dis.

Laporan berhubung kehilangan wanita itu diterima Balai Polis Ampang, Ampang Jaya, pada Isnin lepas, sebelum polis menjalankan pemeriksaan di sebuah rumah di Jalan Pedas-Linggi yang dikesan terdapat perlakuan jenayah.

Proses bedah siasat sedang dijalankan di Hospital Rembau.

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *