
KUALA LUMPUR: Semua permohonan faedah bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) merentasi empat akta boleh dikemukakan sepenuhnya secara dalam talian berkuat kuasa Januari depan.
Perkara itu antara empat pengumuman utama Menteri Sumber Manusia, R Ramanan, selepas membuat lawatan kerja rasmi ke Menara Perkeso, hari ini.
Empat akta itu membabitkan permohonan faedah bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789), Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) dan Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838).
“Ini adalah satu langkah yang bagus, dapat menjimatkan masa dan juga jimatkan kos perjalanan mereka untuk pergi ke pejabat-pejabat Perkeso,” katanya yang baru dilantik mengetuai Kementerian Sumber Manusia.
Beliau turut mengumumkan sasaran pelaksanaan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (Lindung 24 Jam) menjelang suku pertama atau selewat-lewatnya suku kedua 2026.
Selain itu, kerajaan bersetuju mengurangkan faedah caruman lewat bayar (FCLB) sebanyak 80% bermula hari ini hingga akhir Januari 2026 bagi membantu 300,000 majikan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang berdepan peningkatan kos operasi.
Ramanan memaklumkan, pihaknya akan merintis skim pengembara melalui kajian kebolehlaksanaan mulai tahun depan bagi memastikan kira-kira 400,000 pekerja tempatan yang berulang-alik merentasi Tambak Johor setiap hari tidak tercicir daripada perlindungan keselamatan sosial.
Dalam pada itu, beliau yang baru memulakan tugas semalam mengakui tiada tempoh bulan madu sebaliknya terus memulakan tugas dengan turun ke agensi bawah kementeriannya bagi menangani keperluan rakyat yang memerlukan bantuan segera.
Katanya, sebaik melapor diri pada hari pertama, beliau terus menerima taklimat daripada ketua setiausaha kementerian bersama pengurusan tertinggi sebelum turun ke agensi bawah kementerian itu.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi peringatan tegas kepada menteri yang baru dilantik atau bertukar portfolio supaya meneliti secara menyeluruh aspek pengurusan serta dasar kementerian masing-masing sebelum membuat sebarang keputusan.
