PN perlu tampil pemimpin mampu urus ekonomi menjelang PRU16, kata Saifuddin

Saifuddin Abdullah
PN sudah memainkan peranan sebagai pembangkang konstruktif sepanjang tiga tahun penggal Parlimen ke-15.

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) perlu mengemukakan pimpinan berkeupayaan mengurus ekonomi ketika negara mungkin bersedia menghadapi PRU16 susulan tempoh Parlimen yang genap tiga tahun hari ini, kata wakil rakyatnya.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, berkata ada perkiraan yang PRU mungkin berlangsung hujung 2026 memandangkan negara mempunyai sejarah mengadakan pilihan raya sebelum tempoh lima tahun genap.

Namun, katanya fokus majoriti masyarakat ialah masalah ekonomi rakyat seperti kos sara hidup, pendapatan dan pengangguran yang penyelesaiannya perlu menjadi fokus PN.

Tegas ketua portfolio pendidikan PN itu, caranya bukan sekadar dengan menyerahkan pemberian bantuan sekali beri (one off) kepada rakyat dan berjangka pendek sebaliknya mampan serta membantu kehidupan masa depan.

“Menyelesaikan masalah ini melibatkan kos dan ia memerlukan dana untuk membiayainya. Dana perlu dicari dan dikembangkan.

“Justeru, PN perlu mengemukakan pimpinan mampu menguruskan bab ekonomi iaitu seseorang yang mempunyai pengalaman sebenar dan berjaya dalam bidang ekonomi serta mahu dan tahu melakukannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam tulisan ‘Merentas Ruang’ diterbitkan di Sinar Harian.

Saifuddin yang juga bekas menteri luar berkata, sepanjang tempoh tiga tahun menjadi pembangkang PN sudah mengambil pendekatan konstruktif dengan memainkan peranan semak dan imbang, selain mengemukakan cadangan dasar, bantahan besar serta isu berkepentingan awam.

Jelasnya, antara diketengahkan PN termasuk Konsensus Nasional Baharu dibentangkan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin sebagai pelan masa depan negara, merangkumi pembetulan dan usaha menghidupkan semula pertumbuhan ekonomi.

Beliau turut menyenaraikan bantahan terhadap beberapa keputusan kerajaan termasuk cadangan penjualan saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada BlackRock, peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta isu integriti dan tadbir urus melibatkan institusi utama negara.

Saifuddin mendakwa, kegagalan kerajaan menunaikan janji reformasi dan rombakan Kabinet Selasa lalu pula yang dilihat tidak meyakinkan telah menyumbang kepada ketidakpuasan hati rakyat.

“Malahan ia dianggap menurut telunjuk DAP,” dakwanya.

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *