Pindaan Akta Finas tak libat kawal selia media sosial

finas
Finas yakin pindaan akta itu akan menjadi pemangkin kepada pembentukan ekosistem perfileman negara yang lebih mampan.

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang (RUU) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) (Pindaan) 2025 diluluskan Dewan Negara semalam, tidak melibatkan kawal selia kandungan media sosial atau menyekat kreativiti.

Finas memaklumkan, pindaan itu berteraskan tiga skop utama iaitu pembangunan industri, penambahbaikan tadbir urus serta pemantapan fungsi dan penguatkuasaan, dengan penekanan kepada pembentukan ekosistem industri yang lebih profesional, telus dan berdaya saing.

“Pindaan ini tidak melibatkan kawal selia kandungan media sosial. Buat masa ini, Finas juga mengecualikan platform over-the-top (OTT) dan video on demand (VOD) daripada keperluan pelesenan,” katanya dalam kenyataan.

Dewan Negara meluluskan RUU itu yang dibentangkan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, bagi memastikan rangka kawal selia industri filem dan kandungan kreatif negara kekal relevan, berintegriti serta selari dengan perkembangan teknologi dan landskap kandungan digital semasa.

Menurut Finas, pindaan juga bukan bertujuan menyekat kreativiti sebaliknya melindungi kebajikan tenaga kerja kreatif serta memastikan pematuhan undang-undang dalam aktiviti perfileman komersial.

Sepanjang proses penggubalan RUU itu, lebih 50 sesi libat urus diadakan melibatkan persatuan industri, syarikat produksi, stesen televisyen, platform OTT, institusi pengajian tinggi serta kementerian dan agensi teknikal berkaitan.

“Pendekatan ini mencerminkan komitmen kerajaan Madani untuk memastikan setiap pindaan yang dilaksanakan benar-benar mengambil kira keperluan dan realiti industri,” menurut kenyataan.

Finas yakin pindaan akta itu akan menjadi pemangkin kepada pembentukan ekosistem perfileman negara yang lebih mampan, berintegriti dan kompetitif, selari dengan aspirasi pembangunan ekonomi kreatif Malaysia.

Author: admin

1 thought on “Pindaan Akta Finas tak libat kawal selia media sosial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *