
PETALING JAYA: Kes penipuan membabitkan tawaran pekerjaan sambilan mencatat peningkatan mendadak di seluruh negara, dengan jumlah laporan melonjak 146% dan kerugian mencecah RM202.58 juta bagi tempoh 1 Jan hingga 14 Dis lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Rusdi Mohd Isa, berkata sebanyak 8,484 laporan diterima sepanjang tempoh itu berbanding 3,451 kes bagi tempoh sama sebelumnya, peningkatan sebanyak 5,033 kes.
“Dari segi kerugian kewangan, jumlah direkodkan pada 2025 adalah RM202.58 juta, meningkat RM83.75 juta atau kira-kira 70% berbanding RM118.83 juta tahun sebelumnya,” katanya dalam kenyataan.
Rusdi berkata, peningkatan itu menunjukkan jenayah penipuan berkaitan pekerjaan sambilan bukan sahaja semakin berleluasa, malah memberi kesan kewangan besar kepada mangsa.
Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket lazimnya menggunakan media sosial dan aplikasi pesanan segera untuk menawarkan pekerjaan sambilan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat.
“Mangsa kemudian diminta membuat bayaran pendahuluan atau memindahkan wang ke akaun keldai (mule account),” katanya.
Rusdi menegaskan tiada majikan yang sah akan meminta sebarang bayaran pendahuluan sebagai syarat mendapatkan pekerjaan.
“Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada, tidak mendedahkan maklumat peribadi atau perbankan kepada pihak tidak dikenali serta segera membuat laporan polis jika mengesyaki menjadi mangsa penipuan,” katanya.
Individu yang mengesyaki diri terlibat atau menjadi mangsa penipuan, khususnya berkaitan tawaran pekerjaan sambilan, disaran segera menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di talian 997 selain membuat laporan di balai polis berhampiran.
