
“Kemudian Allah mengutus seekor burung gagak yang mengorek-ngorek di bumi untuk memperlihatkan kepadanya bagaimana menimbus mayat saudaranya.” (Surah al-Maidah, ayat 31).
Dikisahkan seekor burung gagak pernah mengajar manusia satu pengajaran penting tentang pengurusan jasad dan tanggungjawab selepas kematian. Dari kisah ini, burung gagak muncul bukan sekadar simbol keburukan, tetapi sebagai makhluk yang bijak dan mampu memperlihatkan cara penyelesaian masalah.
Hari ini, ribuan tahun selepas kisah tersebut, burung gagak terus hidup bersama manusia, kali ini di tengah bandar moden. Dalam landskap bandar Malaysia, khususnya di Pulau Pinang dan Lembah Klang, kehadiran burung gagak rumah (house crow, Corvus splendens) semakin ketara. Burung berwarna hitam ini sering dikaitkan dengan gangguan bunyi, pencemaran persekitaran dan isu kebersihan bandar. Namun, di sebalik persepsi negatif tersebut, gagak sebenarnya merupakan antara spesies burung paling berjaya dan bijak dalam dunia haiwan. Latar belakang biologi, sejarah penyebaran, ekologi serta tingkah lakunya menjelaskan mengapa spesies ini begitu mudah menyesuaikan diri dengan persekitaran yang didominasi aktiviti manusia.
Dari sudut sejarah, gagak rumah merupakan antara spesies invasif paling berjaya dalam genus Corvus. Habitat asalnya ialah Asia Selatan, khususnya Sri Lanka, India, Bangladesh dan Nepal. Menariknya, gagak bukanlah burung migrasi bermusim seperti burung air atau burung rentas benua. Ia tidak memiliki ciri tipikal burung migrasi seperti sayap panjang untuk penerbangan jarak jauh atau struktur kaki khas bagi habitat akuatik. Namun begitu, hari ini gagak rumah telah merebak ke lebih 20 buah negara, malah boleh ditemui sejauh Eropah, termasuk Belanda, walaupun berasal dari kawasan tropika.
Persoalan utama ialah bagaimana spesies yang bukan burung migrasi ini mampu menjajah pelbagai benua. Jawapannya terletak pada tahap kecerdasan dan keupayaan adaptasi yang tinggi. Dalam keadaan tertentu seperti perubahan faktor abiotik, suhu, musim, sumber makanan, persaingan spesies dan habitat, gagak mampu mengembara antara 250 hingga 1,700 batu. Berbeza dengan kebanyakan burung yang berhijrah pada waktu malam, gagak melakukan perjalanan pada waktu siang, dengan kelajuan penerbangan sehingga 40 batu sejam dan jarak sejauh 200 batu dalam sehari. Untuk mengekalkan tenaga, gagak mengamalkan strategi ‘terbang dan makan’ (fly-and-forage), iaitu membuat beberapa hentian singkat sepanjang perjalanan bagi mendapatkan makanan sebelum meneruskan penerbangan.
Kajian genetik terkini turut memberikan gambaran yang lebih jelas tentang sejarah gagak rumah di Malaysia. Analisis DNA daripada tisu hati, bulu dan darah gagak yang dikumpulkan di kawasan berpenduduk padat di Selangor dan Pulau Pinang menunjukkan bahawa gagak rumah di Malaysia berkemungkinan diperkenalkan dari Sri Lanka lebih 100 tahun lalu. Rekod sejarah juga mencatatkan bahawa sekitar 56 ekor gagak rumah telah diimport dari Sri Lanka ke Port Klang pada era 1890-an. Tujuan asal pengimportan ini adalah untuk mengawal wabak ulat bulu, perosak pertanian serta mengurangkan sisa buangan manusia, sekali gus menjadikan gagak sebagai ‘pembersih domestik’ semula jadi.
Dalam aspek pembiakan, gagak rumah gemar bersarang di pokok besar yang mempunyai kanopi luas, suatu ciri yang banyak terdapat dalam landskap bandar. Beberapa sarang boleh ditemui pada pokok yang sama, mencerminkan sifat sosial spesies ini. Eraman telur dilakukan oleh kedua-dua induk, namun pada waktu malam peranan tersebut lebih banyak dipikul oleh gagak betina. Ketersediaan pokok sarang dan sumber makanan yang berterusan menjadikan kawasan bandar habitat yang sangat sesuai untuk pembiakan dan kelangsungan hidup gagak.
Dari segi pemakanan, gagak ialah omnivor dan berfungsi sebagai pengguna sekunder dalam ekosistem. Diet semula jadinya merangkumi serangga, mamalia kecil, reptilia, amfibia, kacang dan buah-buahan. Walaupun mampu memakan tumbuhan, gagak lebih menggemari makanan berasaskan haiwan kerana kandungan protein dan nutrien yang lebih tinggi, terutamanya semasa musim pembiakan. Kebergantungan kepada sisa makanan manusia menjelaskan mengapa gagak begitu sinonim dengan kawasan bandar dan tapak pelupusan sampah.
Secara keseluruhan, dua elemen utama, iaitu ketersediaan pokok sarang dan sumber makanan menjadi pemacu utama migrasi dan adaptasi gagak ke kawasan bandar. Pembangunan agro di pinggir bandar seperti sawah padi dan ladang kelapa sawit mendorong gagak mencari kawasan bersarang baharu, manakala pembangunan landskap bandar menyediakan ekosistem alternatif yang sesuai. Menariknya, gagak juga didapati lebih mudah bersaing dengan spesies lain berbanding spesies daripada kumpulan yang sama, memberikan kelebihan kompetitif dalam persekitaran bandar yang kompleks.
Di sebalik cabaran yang dibawanya, gagak turut dikenali sebagai antara burung paling pintar. Kajian menunjukkan tahap kecerdasannya setara dengan kanak-kanak berusia tujuh tahun. Gagak mampu mengenali wajah manusia, mengingati perlakuan baik atau buruk seseorang, menyampaikan maklumat tersebut kepada gagak lain, serta merancang untuk masa hadapan. Keupayaan kognitif ini menjadikan gagak bukan sekadar burung perosak bandar, tetapi simbol adaptasi dan kelangsungan hidup dalam ekosistem bandar moden.
Dalam konteks Malaysia, pengurusan dan kawalan populasi gagak lazimnya berada di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan. Peningkatan mendadak populasi gagak telah meletakkan pihak berkuasa, khususnya yang berstatus bandaraya, dalam keadaan mencabar kerana implikasinya terhadap kesihatan awam, kebersihan bandar dan kesejahteraan komuniti.
Bagi memastikan pengurusan kawalan yang berkesan dan mampan, pendekatan yang komprehensif dan berteraskan bukti saintifik amat diperlukan. Ini merangkumi kajian intervensi yang menilai dinamik populasi, tingkah laku dan ekologi gagak, di samping penglibatan serta kesedaran komuniti. Pendekatan bersepadu ini penting bagi mengelakkan langkah kawalan bersifat reaktif dan jangka pendek.
Sehubungan itu, satu inisiatif penyelidikan jangka panjang berasaskan bukti telah dilaksanakan melalui memorandum persefahaman antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP). Kerjasama ini telah berjaya menghasilkan Pelan Tindakan Pencegahan Kawalan Kacau Ganggu Burung Gagak (Petegak, MYIPO: CRLY2023P05294), iaitu pelan tindakan kawalan gagak pertama di Malaysia yang disusun secara sistematik dan berpaksikan data saintifik. Pelan tindakan bagi tempoh 2023 hingga 2030 ini merangkumi pelbagai program intervensi yang dirangka berdasarkan dapatan empirikal dan penilaian saintifik.
Pelaksanaan Petegak melibatkan kerjasama rapat dalam penyelidikan dan pengurusan intervensi antara USM dan MBSP. Melalui Pusat Pengajian Sains Kajihayat (PPSKH), USM membantu memperkukuh kualiti penyelidikan, ketepatan data serta analisis saintifik aktiviti intervensi burung gagak. Pendekatan ini bertujuan memastikan pengurusan perosak bandar ini bukan sahaja berkesan dalam jangka pendek, malah mampan dari sudut alam sekitar dalam jangka panjang.
Penyelidikan yang lebih menyeluruh dan berasaskan sains memberikan nilai tambah kepada usaha intervensi sedia ada, manakala penglibatan komuniti serta industri memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab bersama. Libat sama yang inklusif ini penting bagi memastikan isu populasi gagak dapat diuruskan dengan lebih cekap dan berkesan, selari dengan agenda Apex USM dalam memperkasa kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan sejagat.
Penulis ialah pensyarah kanan Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Universiti Sains Malaysia.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
