Lantikan menteri WP, Takiyuddin sengaja main sentimen kaum

Setiausaha Kebangsaan Pemuda DAP Lim Chun Weng, berkata guna hujah kaum mempertikaikan pelantikan jawatan awam adalah satu bentuk diskriminasi dan jelas bertentangan semangat perpaduan nasional. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pemuda DAP membidas kenyataan pemimpin PAS disifatkan sengaja ‘menghangatkan sentimen kaum dan diskriminasi’ dalam urusan pentadbiran negara susulan pelantikan menteri dan timbalan menteri Wilayah Persekutuan.

Setiausaha Kebangsaan Lim Chun Weng, berkata kenyataan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mempersoal pelantikan berdasarkan latar belakang etnik bukan hanya regresif, malah cubaan terdesak mencetuskan polemik serta menggugat keharmonian.

Beliau turut menyifatkan tindakan PAS mengaitkan inisiatif perundangan seperti Akta Pembangunan Semula Bandar (PSB) dengan agenda peminggiran kaum tertentu sebagai taktik penyebaran ketakutan tidak bertanggungjawab.

“Rakyat perlu diingatkan bahawa sebarang dasar kerajaan tertakluk kepada penelitian Jemaah Menteri yang bersifat kolektif serta proses perbahasan yang telus di Parlimen sebelum dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Lim, pemimpin yang dilantik memerlukan mereka yang kompeten tanpa sebarang prejudis kaum mengambil kira Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan sebagai jantung negara yang mencerminkan wajah Malaysia yang majmuk.

“Menggunakan hujah kaum untuk mempertikaikan pelantikan jawatan awam adalah satu bentuk diskriminasi yang sangat dikesali dan jelas bertentangan dengan semangat perpaduan nasional serta prinsip bangsa Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, Lim berkata penilaian keupayaan barisan pimpinan hanya melalui kanta perkauman sememangnya satu penghinaan kepada sistem demokrasi dan mandat diberikan rakyat.

Katanya, rekod perkhidmatan barisan pimpinan seharusnya dinilai melalui pencapaian, integriti, dan kecekapan dalam melaksanakan dasar kerajaan.

Dalam pada itu, Lim menggesa PAS kembali kepada prinsip ‘politik matang dan sejahtera’ sebagai blok pembangkang dengan menjadi pengkritik membina terhadap dasar ekonomi dan bukannya mengitar semula retorik warna kulit.

“Sudah tiba masanya PAS menghentikan politik toksik ini dan mula menyumbang kepada pembangunan negara secara lebih profesional dan inklusif,” katanya.

Lim mengulas kenyataan Takiyuddin kononnya pelantikan Hannah Yeoh dan wakil rakyat Tawau Lo Su Fui daripada GRS sebagai percaturan sengaja bagi mengukuhkan dominasi DAP di Kuala Lumpur mahupun pusat bandar utama di negara ini.

Takiyuddin mendakwa pemusatan kuasa strategik bandar di tangan pemimpin daripada latar belakang etnik dan parti yang sama boleh menimbulkan persoalan besar mengenai ketidakseimbangan kuasa dan hala tuju pentadbiran negara.

Author: admin

1 thought on “Lantikan menteri WP, Takiyuddin sengaja main sentimen kaum

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *