
PETALING JAYA: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) akan melihat perkara-perkara dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat, kata menteri baharunya, Johari Ghani.
Katanya, Miti akan meminta rundingan semula sekiranya terdapat perkara tidak adil.
“Apa yang sudah tandatangan, kita tidak boleh undur. Tetapi apa yang kita nak tengok bersama-sama Miti, manakah perkara yang kita boleh minta untuk rundingan semula, mana-mana perkara yang tidak adil,” lapor Harian Metro.
Dalam pada itu, Johari berkata Miti akan melihat pada ‘perlindungan dalaman’ ekonomi negara, seiring langkah banyak negara maju.
“Hasil Keluaran Dalam Negara Kasar telah berkembang begitu besar dari 2015 sehingga 2024. Tetapi kita punya sumbangan perusahaan kecil dan sederhana, jika dibandingkan dalam tempoh 10 tahun itu, pembangunannya 37% kepada sumbangan KDNK dan sekarang ini 39%. Ia hanya meningkat sedikit hanya 2%,” katanya.
Johari menerangkan beliau mahu melakukan diagnosis keadaan sebenar ekonomi, untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
“Saya datang ini bukan nak buat ‘keajaiban’, tetapi saya nak dapatkan maklum balas daripada kakitangan kementerian, kemudian kita akan mula diagnosis daripada statistik supaya boleh dikongsikan dengan Jemaah Menteri,” katanya.

https://shorturl.fm/K6CN5