
PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerima hukuman terbaharu daripada Jawatankuasa Tatatertib Fifa susulan kes menurunkan pemain tidak layak dalam tiga perlawanan antarabangsa Tier 1 tahun ini.
Fifa memutuskan Harimau Malaysia diisytihar kalah dengan jaringan 3-0 pada ketiga-tiga perlawanan terbabit selain denda CHF10,000 (RM51,414).
Badan induk bola sepak negara itu berkata mesyuarat FIFA pada 12 Dis lalu dipengerusikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Jorge Palacio mendapati FAM melanggar Artikel 19 Kod Tatatertib FIFA (Edisi 2025).
Menurutnya, kesalahan itu kerana menurunkan pemain yang tidak layak dalam tiga Perlawanan Antarabangsa Tier 1 seperti berikut:
Malaysia seri 1-1 menentang Cape Verde di Kuala Lumpur, 29 Mei 2025.
Malaysia menang 2-1 menentang Singapura di Bukit Jalil, 4 September 2025.
Malaysia menang 1-0 menentang Palestin di Iskandar Puteri, 8 September 2025.
“FAM akan menghantar permohonan bertulis untuk mendapatkan alasan rasmi keputusan daripada FIFA sebelum menentukan langkah seterusnya,” katanya.
