Anwar arah JKR percepat projek Pusat Kanser Sarawak

anwar
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempengerusikan satu mesyuarat khas mengenai projek strategik nasional pada Isnin, menurut Timbalan Premier Sarawak Dr Sim Kui Hian.  (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Timbalan Premier Sarawak Dr Sim Kui Hian berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mempercepatkan pembinaan Pusat Kanser di negeri itu.

Menurut Sim, JKR diarahkan untuk mengeluarkan tender bagi projek bernilai RM1.5 bilion itu menjelang suku pertama tahun depan dan memulakan pembinaan pada suku ketiga.

Beliau berkata sasaran adalah untuk memastikan kemudahan kesihatan itu beroperasi sebelum 2031, lapor Borneo Post.

Sim menambah bahawa arahan tersebut dibuat semasa satu mesyuarat khas di Putrajaya mengenai projek strategik nasional pada Isnin.

“Salah satu daripada empat projek yang dibentangkan ialah Pusat Kanser Sarawak, sebuah hospital awam di bawah Kementerian Kesihatan dengan JKR sebagai agensi pelaksana. Ia akan mempunyai 310 katil dengan keluasan lantai kasar 154,498.26 meter persegi, bersamaan kira-kira 1,500 unit rumah kedai.

“Terima kasih kepada perdana menteri kerana mengarahkan JKR mempercepatkan garis masa projek ini,” katanya.

Sim juga berkata kerajaan Sarawak sedang menyalurkan pinjaman RM1 bilion kepada Putrajaya bagi menyokong pelaksanaan projek tersebut.

Pusat Kanser Sarawak merupakan antara projek utama yang disenaraikan oleh Anwar bagi sektor kesihatan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.

Apabila siap kelak, kemudahan itu akan menjadi pusat kanser awam sepenuhnya yang pertama di Malaysia.

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *