
ISTANBUL: Sekurang-kurangnya dua, termasuk seorang konstabel terbunuh dalam serangan terhadap pasukan petugas polio di Pakistan, menurut kenyataan pegawai dan polis.
Agensi Anadolu melaporkan serangan itu berlaku di daerah Bajaur, Wilayah Khyber-Pakhtunkhwa (K-P), mengorbankan seorang anggota polis yang mengawal pasukan polio itu dan seorang orang awam.
Insiden itu berlaku sehari selepas kerajaan melancarkan kempen polio terakhir bagi 2025, yang dijadualkan berlangsung sehingga 21 Dis. Lebih 400,000 petugas vaksinasi dijangka memberikan dua titisan vaksin polio kepada kanak-kanak di bawah usia lima tahun.
Jurucakap polis, Israr Khan memberitahu akhbar Dawn bahawa konstabel Sajad Ahmed meninggal dunia akibat kecederaan parah, manakala orang awam berkenaan maut ditembak lelaki bersenjata ketika cuba mengejar penyerang terbabit.
Khan berkata, penyerang berjaya meloloskan diri dan pihak polis telah melancarkan operasi mencari, sambil menambah tiada pekerja polio cedera dalam kejadian itu.
Ketua Menteri K-P, Sohail Afridi mengecam serangan berkenaan dan berikrar membawa pelaku ke muka pengadilan. Beliau turut menegaskan kempen vaksinasi itu tidak akan dibiarkan terganggu, menurut kenyataan oleh jurucakapnya.
Petugas vaksinasi polio di Pakistan sebelum ini sering menjadi sasaran pengganas. Pada 2024, seramai 20 terbunuh dan 53 lain cedera semasa kempen imunisasi di wilayah berkenaan.
Setakat ini, tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.
Perdana Menteri Shehbaz Sharif turut mengutuk serangan berkenaan dan berjanji akan mengheret pihak yang bertanggungjawab ke mahkamah.
Pakistan mencatatkan 30 kes polio setakat tahun ini, dengan jumlah kes tertinggi di K-P iaitu sebanyak 19 kes.
