Kren runtuh: JKKP keluar 2 notis larangan, arahan tutup lokasi kejadian

Dalam kejadian di Loji Jana Kuasa Tanjung Bin dekat Pontian semalam, dua pekerja maut manakala tiga lagi cedera. (Gambar JBPM)

PETALING JAYA: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor mengeluarkan dua notis larangan dan arahan penutupan lokasi kren runtuh di sebuah loji jana kuasa dekat Pontian, susulan kejadian mengorbankan dua pekerja semalam.

Menurut JKKP Johor, notis dan arahan terhadap Loji Jana Kuasa Tanjung Bin dekat Kukup itu dikeluarkan sementara menunggu selesainya siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian sebuah kren mengangkat arang batu runtuh semalam.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu, Muhammad Alfarid Ahmad, 19, dan Muhammad Amaluddin Hisamudin, 22, maut manakala tiga lagi cedera, selain berlaku kebakaran kecil.

JKKP Johor berkata, tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak bertanggungjawab sekiranya berlaku pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“JKKP memandang serius setiap kemalangan yang berlaku di tempat kerja sekali gus menasihati majikan agar lebih cakna terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

JKKP turut mengingatkan majikan supaya menjalankan pentaksiran risiko terhadap setiap aktiviti kerja serta mengambil langkah kawalan bagi menghapuskan atau mengurangkan risiko yang ada.

Terdahulu dilaporkan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof menggesa agar siasatan rapi, telus dan menyeluruh dijalankan dengan pihak pengurusan loji.

Kontraktor terlibat turut diarahkan memberi kerjasama penuh.

Fadillah yang juga menteri peralihan tenaga dan transformasi air menyeru pihak berkuasa berkaitan, khususnya JKKP dan polis dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga serta agensi teknikal terlibat, mengenal pasti punca kejadian.

Author: admin

1 thought on “Kren runtuh: JKKP keluar 2 notis larangan, arahan tutup lokasi kejadian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *