
PETALING JAYA: Malaysia sedang pesat membangun secara perindustrian dengan sektor ekonomi dan taman industri semakin berkembang memacu negara ke tahap pembangunan lebih tinggi.
Namun, kemajuan ini datang dengan ‘harga tinggi’. Aktiviti perindustrian kekal menjadi penyumbang utama kepada pelepasan gas rumah hijau sekali gus mempercepatkan perubahan iklim.
Bagi Malaysia, risikonya amat besar. Peningkatan paras laut, gelombang haba yang semakin melampau dan kekerapan banjir memberi kesan kepada negara.
Pada 2025, Malaysia berdepan gelombang haba teruk dengan suhu melebihi 40 darjah celcius serta beberapa kejadian banjir di Johor, Sabah dan Sarawak — menandakan peningkatan risiko iklim negara.
Pengarah Dasar dan Komunikasi di Grantham Research Institute on Climate Change and the Environment, London School of Economics, Bob Ward, berkata rakyat Malaysia perlu menerima hakikat semua orang terdedah kepada perubahan iklim.
“Semua orang bertanggungjawab menangani perubahan iklim. Kita sudah melihat kesan perubahan iklim yang semakin meningkat, didorong terutama oleh pelepasan gas rumah hijau,” katanya dalam temu bual FMT.

Beliau berkata, kesan itu hanya akan mula berkurangan selepas dunia mencapai pelepasan sifar bersih, menjadikan peralihan kepada tenaga bersih dan pengurangan karbon amat penting bagi setiap negara.
“Kita perlu mempercepatkan peralihan kepada alternatif bersih dan meninggalkan bahan api fosil secepat mungkin kerana kita tidak mampu menanggung kos jika gagal berbuat demikian,” katanya.
Kelestarian juga semakin penting bagi daya saing ekonomi Malaysia, apabila permintaan global terhadap barangan rendah karbon dan peraturan hijau seperti cukai karbon terus meningkat. Jika ketinggalan, negara boleh berdepan halangan perdagangan, pengurangan akses pasaran dan kehilangan peluang ekonomi.
Dekarbonisasi kawasan industri
Bagi menangani isu ini, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) diperkenalkan pada 2023, menggariskan strategi Malaysia untuk mencapai pelepasan sifar bersih dan sistem tenaga rendah karbon menjelang 2050, termasuk sasaran meningkatkan penjanaan tenaga boleh diperbaharui kepada 70%.
Salah satu sasaran utama NETR memberi tumpuan kepada pengurangan pelepasan dan peningkatan kecekapan tenaga dalam sektor perindustrian dan komersial.
Memandangkan kawasan perindustrian menghimpunkan aktiviti yang menghasilkan pelepasan tinggi, penyahkarbonan menawarkan cara paling pantas dan berkesan untuk mengurangkan pelepasan negara.
Menerajui usaha ini ialah UEM Lestra Bhd, anak syarikat milik penuh UEM Group Berhad, disokong oleh anak syarikatnya NUR Power Sdn Bhd, dalam usaha mengintegrasikan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui di zon perindustrian Malaysia.
UEM Lestra memperuntukkan kira-kira RM1.5 bilion untuk nyahkarbon kawasan perindustrian dan turut mengetuai pembangunan projek loji tenaga solar hibrid berkapasiti satu gigawatt di Segamat, Johor.
Syarikat itu juga bekerjasama dengan ACWA Power dari Arab Saudi dalam kajian kebolehlaksanaan serta pembangunan fasiliti loji penjanaan tenaga dan air bebas (IWPP) yang dikuasakan oleh tenaga boleh diperbaharui, termasuk penyahgaraman menggunakan tenaga solar dengan sokongan sistem penyimpanan bateri.
Anak syarikat UEM Lestra, Cenergi SEA Berhad, juga sedang membangunkan loji biogas asli termampat di Sabah yang akan menukar efluen kilang minyak sawit kepada biometana bersih dan termampat untuk kegunaan industri.
Pengarah Urusan UEM Lestra, Harman Faiz Habib Muhamad, menekankan kepentingan strategik pengambilalihan pegangan majoriti dalam NUR Power, pembekal tenaga bagi Kulim Hi-Tech Park (KHTP) di Kedah, salah satu taman perindustrian terbesar di Malaysia.
Ketika peralihan KHTP ke arah menjadi taman perindustrian pintar dan hijau, ia muncul sebagai hab utama tenaga bersih. Perancangan kini termasuk pembinaan loji solar sehingga 500MWac, dibangunkan bersama UEM Lestra dan NUR Power.

“Dengan pengambilalihan ini, kami lihat lebih banyak peluang untuk memasuki taman perindustrian lain selain KHTP. Kami sedang berunding dengan beberapa taman perindustrian dan berusaha membawa tenaga hijau kepada mereka,” katanya.
Sebagai pembekal tenaga eksklusif untuk KHTP, NUR Power melabur dalam sistem pendinginan daerah, penyimpanan bateri dan teknologi tindak balas permintaan beban untuk membantu penyewa memenuhi keperluan kredit karbon dan matlamat kelestarian.
Ward berkata, Malaysia perlu memberi penekanan lebih besar kepada tenaga boleh diperbaharui kos rendah seperti solar, yang masih kurang dimanfaatkan walaupun merupakan sumber elektrik termurah di dunia.
Pemangkin perubahan
Ketika Malaysia beralih daripada ekonomi kos rendah dan gaji rendah kepada model lebih bernilai tinggi dan mesra alam, KHTP mewakili langkah awal dalam usaha negara mengurangkan pelepasan, menyokong pekerjaan hijau dan memacu pertumbuhan lebih lestari.
Harman menegaskan, pertumbuhan ekonomi hijau Malaysia berpotensi menghasilkan kesan berganda, termasuk pekerjaan berkualiti tinggi dan kelas pertengahan yang lebih kukuh.
Forum Ekonomi Dunia turut melaporkan peralihan hijau boleh mewujudkan hampir 10 juta pekerjaan baharu menjelang 2030 dan mendorong perubahan besar dalam kemahiran tenaga kerja.
“Jika mahu membangunkan ekonomi yang kukuh, kita perlu tambah nilai dan meningkatkannya. Penciptaan pekerjaan khususnya pekerjaan berkualiti tinggi akan membentuk kelas pertengahan yang lebih baik, sekali gus akan membantu menyokong ekonomi secara keseluruhan,” kata Harman.
Ward juga menyatakan, Malaysia memiliki potensi besar yang belum dimanfaatkan sepenuhnya, terutama dengan kos tenaga boleh diperbaharui yang semakin rendah.
“Ia akan beri manfaat kepada ekonomi Malaysia melalui kos tenaga lebih rendah untuk perniagaan dan isi rumah serta meningkatkan keselamatan tenaga, kerana elektrik dijana secara domestik dan tidak bergantung kepada import,” katanya.
Cabaran dalam peralihan
Walaupun ada kemajuan, perjalanan Malaysia menuju peralihan tenaga berdepan cabaran besar, terutama beban kewangan untuk menaik taraf infrastruktur dan mengguna pakai teknologi canggih.
Ward berkata, Malaysia perlu mengambil pendekatan lebih berani dalam beralih daripada bahan api fosil.
“NETR ialah strategi yang sangat bercita-cita tinggi untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050, tetapi Malaysia perlu berani dan melabur lebih besar dalam peralihan daripada bahan api fosil,” katanya.
Memandangkan kesihatan alam sekitar dan masa depan ekonomi Malaysia bergantung kepada pengembangan tenaga boleh diperbaharui dalam sektor perindustrian, dekarbonisasi bukan lagi pilihan tetapi keperluan untuk mengekalkan daya saing global.

Just signed up with hi68, and I’m liking what I see. Fast payouts and a solid selection of games. Give hi68 a go, you might be surprised: hi68.