Rekod jenayah saksi tiada kaitan kes tembak di Melaka, kata peguam

Peguam Rajesh Nagarajan memberitahu Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar, penemuan forensik dan laporan bedah siasat mendapati sudut peluru menurun yang menunjukkan ia pembunuhan ‘gaya hukuman mati’ di luar proses undang-undang.

PETALING JAYA: Peguam mewakili keluarga tiga lelaki ditembak mati polis Melaka bulan lalu menegaskan status perkahwinan atau rekod jenayah lampau individu dikaitkan dengan kes itu tidak relevan kepada kejadian berkenaan.

Semalam, Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar dilaporkan Bernama berkata, seorang wanita mendakwa seorang daripada suspek ditembak mati polis di Durian Tunggal, bulan lalu adalah suaminya.

Beliau berkata, wanita itu – yang merakam audio kejadian – dan lelaki berkenaan hanya pasangan kekasih yang tinggal bersama selama tiga tahun dan wanita terbabit mempunyai 10 rekod jenayah lampau sejak 2012.

“Kita mesti merekodkan perkara ini tiada kaitan dengan kejadian tembakan dan pembunuhan itu,” kata peguam Rajesh Nagarajan kepada FMT.

Beliau mengingatkan Dzulkhairi bahawa penemuan forensik bersama laporan bedah siasat mendapati sudut peluru menurun yang menunjukkan ia pembunuhan “gaya hukuman mati” di luar proses undang-undang.

“Ketua polis Melaka tidak buat apa-apa dengan menggantung dan menyiasat kejadian ini sebelum diambil alih Bukit Aman.

“Dan sekarang dia cuba memutar naratif berbeza dengan menyerang satu‑satunya ‘saksi telinga’ pembunuhan ini?”

Polis Melaka pada mulanya mengklasifikasikan kes itu cubaan bunuh selepas Dzulkhairi mendakwa tiga lelaki terbabit perompak bersiri yang menyerang seorang pegawai dengan parang.

Tetapi, peguam mewakili keluarga M Puspanathan, 21, T Poovaneswaran, 24, dan G Logeswaran, 29, berkata rakaman audio serta bukti forensik mencadangkan mereka bertiga dibunuh gaya hukuman mati.

Ahad lalu, Ketua Polis Negara, Khalid Ismail dilaporkan berkata, polis menerima satu CD mengandungi rakaman audio dipercayai perbualan telefon salah seorang lelaki ditembak dengan isterinya sebelum kejadian.

Beliau berjanji polis akan menyiasat kes itu dengan teliti, profesional dan tanpa kompromi untuk menentukan sama ada berlaku sebarang salah laku.

Timbul gesaan untuk inkues dan siasatan bebas diadakan berhubung kes itu, manakala Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengarahkan polis memastikan siasatan dijalankan secara telus.

Ketua polis negara turut diarah mengemukakan laporan terperinci kepada Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail selepas siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman selesai.

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *