2 pekerja maut, 3 cedera kren angkat arang batu runtuh

Mangsa berjaya dikeluarkan dari bawah runtuhan kira-kira 3 petang dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. (Gambar JBPM)

PETALING JAYA: Dua pekerja maut manakala tiga lagi cedera selepas sebuah kren mengangkat arang batu runtuh di sebuah loji janakuasa dekat Kukup, Pontian hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru Mahadir Mamat berkata, dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari tadi, dua warga tempatan, Muhammad Alfarid Ahmad, 19, dan Muhammad Amaluddin Hisamudin, 22, maut di tempat kejadian.

Menurutnya, mangsa berjaya dikeluarkan dari bawah runtuhan kira-kira 3 petang dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Tiga lagi mangsa lelaki warga tempatan yang cedera dibawa ke Hospital Pontian untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Mahadir berkata, 15 anggota termasuk daripada BBP Pekan Nenas dikejarkan ke lokasi kejadian, iaitu di Loji Janakuasa Tanjung Bin, dan operasi turut dibantu Pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT) Malakoff.

Runtuhan tersebut turut menyebabkan kebakaran kecil, namun berjaya dikawal dan dipadamkan bersama pihak ERT Malakoff, tambahnya.

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *