Rayuan ditolak, mahkamah perintah peminjam bayar RM50 juta

Court of Appeal Mahkamah rayuan
Mahkamah Rayuan memerintahkan Pioneer Conglomerate Sdn Bhd dan KBH Marine Industry Sdn Bhd membayar balik pinjaman RM50 juta kepada Ace Credit (M) Sdn Bhd bagi mengelakkan pengayaan tidak adil.

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengekalkan kesahan dua transaksi pinjaman wang keseluruhan bernilai RM50 juta, sambil memutuskan ia kekal boleh dikuatkuasakan walaupun terdapat ketidakpatuhan teknikal dengan Akta Pemberi Pinjam Wang 1955.

Hakim Lim Chong Fong ketika menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah, berkata pelanggaran itu tidak serius, dengan menyatakan pemberi pinjam, Ace Credit (M) Sdn Bhd, tidak cuba menyembunyikan tujuan perjanjian pinjaman itu.

Ketika menolak rayuan dikemukakan Pioneer Conglomerate Sdn Bhd dan KBH Marine Industry Sdn Bhd, Lim berkata:

“Tidak terdapat sebarang ketidakpatuhan substantif. Tambahan, kami mendapati perjanjian tersebut telah dilaksanakan sepenuhnya oleh Ace Credit, namun Pioneer telah gagal membayar balik pinjaman, terutamanya jumlah prinsipal.”

Dalam penghakiman bertulis dikeluarkan baru-baru ini, hakim berkata Mahkamah Tinggi adalah betul memutuskan perjanjian-perjanjian itu batal, dan bahawa restitusi diperintahkan mengikut Seksyen 66 Akta Kontrak 1950 adalah wajar untuk mengelakkan pengayaan tidak adil.

Turut bersidang mendengar rayuan berkenaan ialah Hakim Che Ruzima Ghazali, kini seorang hakim Mahkamah Persekutuan, dan Alwi Abdul Wahab, yang bersetuju bahawa tiada merit dalam rayuan tersebut untuk memerlukan campur tangan.

Pihak terlibat diperintahkan untuk menanggung kos mereka sendiri.

Ace Credit, sebuah syarikat pemberi pinjam wang berlesen telah menyalurkan pinjaman RM35 juta kepada Pioneer dan pinjaman RM15 juta kepada KBH Marine Industry pada 2017 bagi tujuan pelaburan. KBH Marine juga mencagarkan hartanahnya sebagai sekuriti untuk pinjaman berkenaan.

Kedua-dua pihak gagal membayar balik dan Ace Credit memfailkan saman mendapatkan semula wang tersebut.

Namun, KBH Marine dan Pioneer turut memfailkan tuntutan masing-masing, berhujah transaksi pinjaman wang itu tidak mematuhi undang-undang, justeru tidak sah dan batal.

Mahkamah Tinggi bersetuju transaksi itu melanggar peruntukan tertentu akta tersebut , menyebabkan perjanjian dan dokumen sekuriti itu tidak boleh dikuatkuasakan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi memerintahkan restitusi di bawah Seksyen 66 Akta Kontrak 1950 — yang mengkehendaki KBH Marine dan Pioneer memulangkan jumlah pinjaman kepada Ace Credit.

Peguam Dinesh Nandrajog, Loo Man Keith, dan Lim Chun Yen mewakili Ace Credit, manakala Rajakumaran Muthusamy mewakili Pioneer. Tan Swee Cheng dan Daphne Choy bertindak bagi pihak KBH Marine.

Author: admin

1 thought on “Rayuan ditolak, mahkamah perintah peminjam bayar RM50 juta

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *